










PEREKA jam tangan, Mohd Noor Rabbani Abd Rahim, 29, bersama isterinya, Nur Anisha Omar, 26, menunjukkan sebahagian rekaan jam tangan yang dihasilkannya ketika ditemuramah Bernama di rumahnya, di Kulim. Mohd Noor Rabbani berkata rekaan jam tangan ini mengetengahkan identiti nasional dengan mengabadikan motif seni dan budaya Malaysia. Beliau berkata, mendapat inspirasi itu selepas merasakan nilai budaya tempatan wajar berada dekat dengan setiap individu dan salah satu caranya adalah dengan meletakkannya pada aksesori harian. Menurut beliau, setiap rekaan motif pada jam tangannya membawa erti dan kisah tersendiri berkaitan negara ini yang seharusnya difahami dan dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia. Foto BERNAMA
SEORANG pereka jam di sini mengetengahkan motif seni dan budaya Malaysia bagi mengangkat identiti nasional dalam rekaan aksesori itu yang dihasilkan di bawah jenamanya sendiri, masac+.
Mohd Noor Rabbani Abd Rahim, 29, berkata beliau mendapat inspirasi itu selepas merasakan nilai budaya tempatan wajar berada dekat dengan setiap individu dan antara caranya adalah dengan meletakkannya pada aksesori harian.
“Kebanyakan rekaan jam tangan saya berunsurkan budaya dan ciri-ciri Malaysia kerana saya merasakan jika kita tidak mengetengahkan budaya dan warisan kita, siapa yang akan melakukannya?
“Jadi, kita sebagai rakyat Malaysia harus mengetengahkan elemen dan ciri budaya negara ini pada produk-produk yang dihasilkan agar budaya kita terus diingati dan diwarisi,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Beliau berkata setiap motif rekaan jam tangannya membawa erti dan kisah tersendiri berkaitan negara ini yang seharusnya difahami dan dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.
Mohd Noor Rabbani berkata antara motif budaya digunakan adalah nasi lemak, makanan tradisional yang cukup dikenali oleh segenap lapisan masyarakat.
“Selain itu, saya menggunakan motif burung kenyalang yang menjadi simbol budaya di Sarawak serta permainan tradisional seperti wau dan gasing,” katanya.
Mengulas mengenai penghasilan jam tangan, Mohd Noor Rabbani berkata dia mendapatkan enjin atau mesin jam daripada pengeluar jenama terkenal dari Jepun, manakala bahagian lain seperti rangka dan tali jam dibeli dari China.
Pemuda itu berkata selepas menerima semua bahagian berkenaan, beliau melakukan pemasangan setiap komponen di rumahnya dengan dibantu isteri sebelum dijual secara dalam talian.
“Kami juga menjual secara konvensional menerusi program atau acara yang kami sertai seperti di Sungai Petani, Langkawi dan Kuala Lumpur,” katanya yang berkelulusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej Universiti Islam Sultan Ismail Petra (KIAS), Kota Bharu, Kelantan.
Beliau yang merupakan anak jati Kulim berkata rekaan motif pada jam tangannya juga telah menarik perhatian Balai Seni Negara yang menjadikan jam tangan itu sebagai antara cenderamata kepada delegasi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei.
“Ia merupakan pencapaian paling bermakna kerana saya baru sahaja memulakan perniagaan jam ini pada 2023 dan masih beroperasi di rumah, tetapi telah diberikan peluang sebesar ini.
“Saya berasa sangat bangga dan terharu di atas kepercayaan ini dan ia membuatkan saya lebih berazam meningkatkan mutu dan kualiti jam tangan yang dihasilkan serta rekaan yang lebih menarik,” katanya.
Sementara itu, isteri Mohd Noor Rabbani, Nur Anisha Omar, 26, berkata dia berharap perniagaan jam tangan yang diusahakan secara kecil-kecilan itu mampu berkembang seterusnya bersaing di pasaran tempatan serta berkembang ke luar negara.
“Kami berusaha keras untuk memperkenalkan jam tangan ini dengan menyertai banyak program yang dianjurkan pelbagai jabatan kerajaan dan berharap jam tangan ini mampu menjadi ‘duta kecil’ dalam memperkenalkan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.– Bernama