
SIBU: Seorang pempengaruh media sosial terkenal di sini maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Teng Kung Suk 2, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar 2.00 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Ford Ranger yang dipandu mangsa, Chen Ding Ding, 41, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh bahagian belakang rangka treler kontena yang diletakkan di penghujung jalan berkenaan.
“Apabila anggota tiba di lokasi, mangsa didapati berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Zulkipli berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral turut dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Impak pelanggaran yang kuat menyebabkan bahagian hadapan kenderaan mangsa remuk dan terperosok di bawah rangka treler berkenaan.
“Pasukan bomba terpaksa memotong bahagian bumbung kenderaan berkenaan untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Hospital Sibu,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat.
Oleh Tarani Lanting