

LONDON: Seorang pempengaruh yang dikaitkan dengan bintang bola sepak remaja, Lamine Yamal mendedahkan dia menerima ancaman bunuh yang menjengkelkan.
Fati Vázquez, 30, dilapor menghabiskan hujung minggu bersama tonggak Barcelona itu yang mencetuskan khabar angin mengenai hubungan romantik antara mereka.
Gambar-gambar yang dikongsi di Instagram oleh kedua-duanya, dalam tempoh tiga hari dan disahkan oleh Mundo Deportivo, kelihatan menunjukkan mereka sedang bercuti di lokasi sama.
Yamal, 17, berkongsi gambar di media sosial menunjukkan dirinya berada di atas bot dengan latar belakang berbatu.
Fati kemudian turut berkongsi gambar di Instagram, juga berada di atas bot dengan latar belakang berbatu dari sudut berbeza.
Remaja itu juga memuat naik gambar dirinya di tepi kolam infiniti, dengan latar belakang pokok dan kanopi sebagai sebahagian daripada pemandangan indah dalam satu hantaran bergambar.
Sementara itu, Fati turut berkongsi satu hantaran memaparkan kolam infiniti, dengan pokok dan kanopi yang sama kelihatan dalam gambarnya juga walaupun diambil dari sudut berbeza.
Pempengaruh jelita yang berasal dari Galicia di barat laut Sepanyol, mempunyai hampir 400,000 pengikut di Instagram dan lebih 320,000 di TikTok.
Berikutan pengecaman lokasi berdasarkan gambar-gambar tersebut, peminat mula membuat spekulasi mengenai kemungkinan hubungan cinta antara mereka.
Seorang lagi pempengaruh, Javi De Hoyos, menjelaskan dakwaan tersebut adalah palsu selepas dia didakwa bercakap dengan pemain bola sepak itu sendiri.
Dia berkata “tiada hubungan” antara mereka dan percutian itu turut disertai oleh orang lain.
Namun, Fati seorang graduan dalam bidang pramugari tampil di media sosial untuk mendedahkan ancaman bunuh
menjengkelkan yang didakwa
diterimanya sejak spekulasi itu tersebar.
Dia berkata: “Menyedihkan melihat orang yang mempunyai kegelapan dalam diri sehingga sanggup mendoakan kematian kepada seseorang yang mereka tidak kenal pun.
“Apa yang orang lain luahkan lebih banyak menceritakan tentang mereka daripada saya. Saya memilih untuk hidup dengan tujuan untuk terus berkembang dan dikelilingi cahaya.
“Kepada mereka yang mendoakan keburukan terhadap saya, saya doakan mereka sembuh, kerana tiada siapa yang sihat dalam dirinya akan mendoakan kehancuran orang lain.”
Dalam hantaran mengenai perkara itu, De Hoyos menambah: “Lamine tidak pergi bercuti sendirian ke tempat itu, tetapi bersama rakan sepasukan Barça yang lain.
“Fati mungkin mempunyai sesuatu dengan seorang lagi individu dari Barça atau mungkin rakan kepada salah seorang rakan sepasukan.”
Sementara itu, Yamal telah menuju ke Itali untuk menikmati masa rehat selepas musim panjang bersama Barcelona dan pasukan kebangsaan Sepanyol, yang meletakkannya di barisan hadapan dalam persaingan Ballon d’Or. – AGENSI