BINTULU: Pemotongan cukai yang lebih tinggi dapat menggalakkan individu dan mana-mana syarikat memberi sumbangan derma bagi membantu golongan yang memerlukan pada masa pandemik Covid-19 sekarang ini.
Justeru, Setiausaha Agung Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Datuk Dr. Wong Aik Loung mencadangkan agar kerajaan meningkatkan lagi potongan cukai ke atas derma atau hadiah wang yang berkaitan dengan Covid-19.
“Memandangkan kes positif harian yang direkodkan masih tinggi, saya menyeru kepada kerajaan untuk tingkatkan potongan cukai ke atas derma atau hadiah wang yang berkaitan dengan Covid-19, tidak kiralah daripada individu atau syarikat.
“Ini bagi menggalakkan lebih ramai individu atau syarikat untuk membuat pendermaan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau memberitahu, mengikut akta yang sedia ada, derma atau hadiah wang kepada institusi atau organisasi yang diluluskan, amaun potongan cukai adalah terhad kepada tujuh peratus daripada pendapatan agregat.
“Tahun lepas, kerajaan juga menawarkan potongan cukai bagi sumbangan dan derma yang dibuat sama ada dalam bentuk tunai atau barangan kepada Tabung Covid-19 dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Justeru, saya ingin memohon kepada Kerajaan untuk meningkatkan had potongan cukai dari tujuh peratus kepada 110 peratus ke atas sumbangan derma yang diberikan kepada institusi atau organisasi yang diluluskan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Datuk Dr Wong turut mencadangkan agar kerajaan menawarkan insentif percukaian atau pelepasan cukai kepada individu atau syarikat yang memberi sumbangan derma kepada pelajar-pelajar untuk pembelian peralatan digital seperti komputer, tablet dan lain-lain.
“Potongan cukai ini juga tidak sepatutnya dihadkan bagi derma yang dibuat kepada KKM sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan lagi kepada derma dan sumbangan kepada kerajaan negeri atau badan berkanun, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Syarat untuk mendapatkan potongan cukai ini juga perlu dipermudahkan permohonannya,” ujarnya.
Katanya lagi, pelbagai aktiviti berbentuk perhimpunan kini tidak dibenarkan berikutan gelombang ketiga Covid-19 di Malaysia sehingga kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
“Banyak aktiviti memberi derma tidak dapat dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO) sehingga menyebabkan banyak pusat jagaan orang tua dan rumah anak yatim kekurangan sumbangan.
“Selain itu, pembelajaran sekolah kini yang dilakukan dalam talian juga menimbulkan kesusahan kepada ibu bapa terutamanya yang mempunyai lebih daripada dua anak yang bersekolah di mana masing-masing perlu menggunakan komputer, komputer riba atau ‘laptop’ untuk mengikuti kelas. Tambahan lagi, keluarga B40 juga tidak mampu untuk membeli komputer,” jelas beliau.
Oleh itu, tegasnya, banyak persatuan NGO atau keluarga yang berpendapatan rendah amat memerlukan bantuan sedemikian.
“Jadi, saya berharap kerajaan dapa tingkatkan lagi potongan cukai ke atas derma atau hadiah wang yang berkaitan dengan Covid-19 untuk menggalakkan lebih ramai individu atau syarikat untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat,” ujar Datuk Dr Wong lagi.