
KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, menegaskan bahawa pemotongan dan penstrukturan semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berisiko melemahkan perkhidmatan kesihatan di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, beliau berkata BIW mencerminkan cabaran sebenar petugas kesihatan di kawasan pedalaman, termasuk faktor geografi, kekurangan tenaga kerja dan kos sara hidup yang tinggi.
Yii memaklumkan bahawa 43 peratus pegawai perubatan yang ditempatkan ke Sarawak gagal melapor diri, manakala nisbah doktor kepada penduduk adalah 1 kepada 510 berbanding purata nasional 1 kepada 406.
Beliau berkata skim BIW baharu menyaksikan pegawai perubatan muda di kawasan seperti Miri dan Keningau hanya menerima RM360 sebulan, berbanding sehingga RM1,000 sebelum ini, sekali gus menjejaskan semangat dan pengekalan tenaga kerja.
Menurutnya, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menganggarkan kos untuk memulihkan sistem BIW yang lebih adil sekitar RM4.2 juta setahun dan menggesa kerajaan menilai semula dasar tersebut melalui perundingan bersama pihak berkaitan.
Yii memberi amaran bahawa kegagalan bertindak boleh memburukkan lagi kekurangan doktor di Sarawak dan Sabah serta mempercepatkan penghijrahan tenaga perubatan ke luar negara.
Oleh Connie Chieng