Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Pemindahan hati bayi lelaki pencapaian luar biasa dan bersejarah – Naib Canselor UM
  • NASIONAL

Pemindahan hati bayi lelaki pencapaian luar biasa dan bersejarah – Naib Canselor UM

Utusan Sarawak 2 days ago
UM, PPUM lakar sejarah kejayaan pemindahan hati bayi lelaki 4 bulan.

KUALA LUMPUR: Kejayaan pemindahan hati ke atas seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang merupakan penerima pemindahan hati termuda di Malaysia pada 25 November menandakan pencapaian luar biasa dalam sejarah perubatan negara.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata pencapaian itu bukan sahaja kejayaan klinikal malah membuktikan komitmen UM terhadap penyelidikan bertaraf dunia dan diterjemahkan menerusi impak sebenar kepada pesakit. 

“Kejayaan luar biasa ini membuktikan kepakaran bertaraf dunia, ketelitian klinikal pada saat getir serta kekuatan kerjasama berpasukan yang didukung oleh nilai kemanusiaan dan tanggungjawab profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Azuan berkata beliau telah menziarahi bayi itu dan bertemu ibu bapanya serta menyatakan rasa amat bangga dan terharu terhadap komitmen, kecekapan, ketabahan dan semangat juang seluruh pasukan perubatan dan pembedahan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). 

Beliau berkata bayi itu kini berada dalam pemantauan rapi pakar sekali gus menandakan detik penting dalam sejarah pemindahan hati pediatrik Malaysia dan memperkukuh misi UM dan PPUM untuk terus melindungi, merawat dan menyelamatkan nyawa.

Selain itu, Dr Noor Azuan berkata pendekatan klinikal dan kerangka rawatan yang digunakan dalam kes tersebut berasaskan dapatan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Pediatric Surgery International. 

Beliau berkata hasil penyelidikan itu telah dirujuk dan diguna pakai pada peringkat global sehingga berjaya menyelamatkan nyawa melalui pelaksanaan klinikal di PPUM.

“Ini mencerminkan semangat UM, iaitu penyelidikan berkualiti tinggi, inovasi dan piawaian global tertinggi diperkukuh dalam amalan rawatan klinikal bagi manfaat Malaysia dan dunia,” katanya.

Dr Noor Azuan juga menyatakan rasa bangga terhadap seluruh pasukan PPUM selain menegaskan kejayaan itu merupakan mercu tanda besar dalam sejarah perubatan negara serta lambang keberanian, kepimpinan, profesionalisme dan kemanusiaan. 

Susulan kejayaan itu, beliau berkata UM akan menambah dan memperluas bilangan dewan bedah di PPUM serta memperkukuh infrastruktur, kemudahan rawatan kritikal dan sistem sokongan bagi pasukan kepakaran perubatan. 

Beliau berkata komitmen itu akan memastikan kepakaran doktor, pakar bedah, jururawat dan anggota kesihatan UM terus diperkasakan dengan kemudahan dan sokongan terbaik untuk terus berkhidmat kepada rakyat, menyelamatkan nyawa serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama Pengarah PPUM Prof Dr Mohd Zulkiflee Abu Bakar berkata bayi seberat 6.2 kilogram itu menjadi rekod dalam sejarah perubatan Malaysia.

“Bayi itu mengalami kegagalan hati akut dan rebah beberapa minit sebelum pembedahan dijalankan yang memerlukan usaha rawatan rapi serta bantuan resusitasi selama lebih sejam di Unit Rawatan Rapi Pediatrik. 

“Selepas pasukan perubatan berjaya menstabilkannya, keputusan klinikal yang berani dan kritikal dibuat untuk meneruskan pembedahan, langkah yang akhirnya berjaya menyelamatkan nyawanya,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, bapa bayi itu Tan Hock Siong berterima kasih kepada semua staf PPUM yang terlibat membantu dan menyatakan harapan agar anaknya terus sihat.- Bernama

Continue Reading

Previous: Tun M masuk IJN selepas dilapor terjatuh di rumah
Next: KKM sasar haram vape tahun ini – Dzulkefly

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.