
LAWAS: Pihak SACOFA perlu memastikan gangguan minimum semasa pelaksanaan kerja pembinaan Lebuh Raya Pesisir Utara Sarawak (NCH) yang dijangka bermula sepenuhnya Januari ini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, berkata semasa projek NCH itu dijalankan, banyak penggantian kabel utiliti termasuk gentian fiber optik akan dilakukan.
“Kita memohon SACOFA, SDEC atau mana-mana syarikat milik kerajaan Sarawak (GLC) yang terlibat dalam perkhidmatan telekomunikasi memastikan kesan minimum agar tidak menjejaskan perkhidmatan telekomunikasi di Lawas.
“Kita juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau kerja yang dilakukan mengikut standard sewajarnya,” katanya pada sesi perjumpaan dengan SKMM dan SACOFA di pejabatnya hari ini.
Henry Sum Agong turut mencadangkan agar SKMM membuka pejabat tetap di Lawas bagi memantau secara langsung keadaan perkhidmatan internet dan telekomunikasi yang meruncing di kawasan itu.
Menurutnya, pelbagai isu turut dibincangkan termasuk pembinaan menara baharu di bawah program JENDELA dan jumlah aduan rasmi yang diterima SKMM daripada masyarakat di Lawas.
Ahli Parlimen itu juga memberi komitmen untuk bertemu dengan menteri bertanggungjawab bagi hal telekomunikasi di peringkat Persekutuan dan negeri Sarawak.

“Masalah perhubungan telekomunikasi ini sangat penting. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sendiri menekankan agar sistem rangkaian telekomunikasi di Sarawak dipertingkatkan. Ini bukan isu kecil kerana kebakaran di Trusan tahun lalu menyukarkan mangsa menghubungi Bomba.
“Semasa banjir baru-baru ini pula, ramai yang marah kerana tidak dapat meminta bantuan akibat tiada talian telefon dan internet, termasuk di kampung saya sendiri di Long Tuan,” ujarnya.
Henry Sum turut menzahirkan penghargaan kepada SKMM yang hadir pada sesi itu dan berharap GLC telekomunikasi lain di Sarawak dapat hadir pada sesi akan datang untuk memberi penerangan jelas kepada penduduk Lawas.
Hadir sama pada sesi itu ialah Setiausaha PBB Cawangan Bukit Sari, Kaunselor Awang Ibrahim Ahmad, ketua-ketua Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan dan Bukit Sari, wakil Ahli Majlis Daerah Lawas, Kaunselor Awang Mohd Ariffin Dato Pengiran Jawa, serta ketua-ketua kampung di kawasan Ba’kelalan.
Oleh Adeng Edrus