Peminat sukan lastik dipelawa sertai kejohanan tertutup Sarawak di Saratok

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ORANG ramai, dipelawa menyertai Lorong Udak Slingshot Tournament 2.0 – Closed Sarawak 2026 yang mempertandingkan Piala YM Profesor Dato’ Paduka Seri Is. Dr. Tunza Mohd Riduan.

SARATOK: Orang ramai, khususnya peminat sukan lastik di Sarawak, dipelawa menyertai Lorong Udak Slingshot Tournament 2.0 – Closed Sarawak 2026 yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM1,000 kepada juara kategori utama.

Kejohanan anjuran Lorong Udak Slingshot yang mempertandingkan Piala YM Profesor Dato’ Paduka Seri Is. Dr. Tunza Mohd Riduan itu dijadualkan berlangsung pada 16 Ogos ini, bermula 8.00 pagi, di Gelanggang Futsal LAKIS Saratok, bersebelahan Masjid Jamek Saratok.

Menurut penganjur, pertandingan itu bertujuan mengangkat permainan lastik tradisional sebagai sukan rekreasi moden yang menguji ketepatan, fokus, ketahanan mental serta kawalan fizikal peserta.

Katanya, penganjuran kejohanan itu turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan memupuk semangat perpaduan tanpa mengira umur, kaum dan agama, selain menggalakkan kerjasama serta kepercayaan dalam kalangan peserta.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan, iaitu Kategori Individu Tertutup Sarawak dengan yuran penyertaan RM35 dan Kategori Sharpshooter yang mengenakan yuran RM10.

Bagi kategori individu, juara bakal membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi, manakala hadiah turut disediakan sehingga tempat ke-20.

Kategori Sharpshooter pula menawarkan hadiah wang tunai RM150 berserta trofi kepada juara.

Penganjur menetapkan hanya peluru tanah liat berukuran lapan milimeter yang disediakan dibenarkan untuk digunakan, manakala penggunaan peluru besi, getah bertarik (triggered rubber) dan lastik yang dilengkapi peralatan laser adalah dilarang.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat boleh mendaftar melalui pindahan wang dalam talian. Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Aszuan di talian 011-1407 1796.

Oleh TARANI LANTING