
Patung Ronaldo yang dipamerkan di Hong Kong. - Foto AFP
HONG KONG: Peminat bola sepak di Hong Kong sanggup beratur selama berjam-jam semata-mata untuk merakam gambar bersama trofi dan jersi milik Cristiano Ronaldo dalam satu pameran yang digambarkan sebagai yang pertama seumpamanya di luar Portugal, negara asal pemain bola sepak terkemuka dunia itu.
Pengunjung yang hadir pada pembukaan “Muzium CR7 LIFE Hong Kong” di sebuah pusat beli-belah mewah bergambar bersama patung bersaiz sebenar bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu, termasuk satu patung dalam gaya meraikan jaringan di udara serta satu lagi berpakaian tradisional Arab Saudi.
“Cristiano Ronaldo ialah idola saya… dia istimewa,” kata Alvin Lai, 14, yang menjadi individu pertama dalam barisan lebih 100 orang.
“Dia paling rajin antara semua,” ujar pelajar universiti, Henry Singh.
“Dia dah 40 tahun tapi masih bermain dengan cemerlang.”
Ronaldo menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama kelab Arab Saudi, Al Nassr, bulan lalu dan menyifatkannya sebagai “bab baharu” dalam satu hantaran di Instagram.
Al Nassr dijadualkan beraksi dalam kejohanan pramusim di Hong Kong bulan depan.
Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu dijangka akan bertemu peminat di muzium berkenaan “dalam masa terdekat”, kata Tomas Froes, wakil pejabat keluarga bintang bola sepak itu.
Pameran seluas 12,000 kaki persegi (1,110 meter persegi) itu membawa mesej “kuat” kepada semua untuk mencapai impian masing-masing, ujar Froes kepada AFP.
Penganjur memaklumkan bahawa pameran di Hong Kong itu akan berlangsung selama setahun sebelum dibawa ke tanah besar China. – AFP