Orang ramai bermain daun terup di sebuah kedai kopi di Kaherah pada 9 Disember ketika perlawanan Liga Juara-Juara antara Inter Milan dan Liverpool disiarkan di skrin besar. Dahulu kafe itu sesak dengan peminat Liverpool, tetapi tanpa kelibat Mohamed Salah, ramai kini lebih suka bermain kad atau melayari telefon daripada menonton aksi The Reds. Foto AFP
KAHERAH: Suasana di sebuah kafe yang dulu meriah dengan sorakan penyokong Liverpool kini bertukar suram selepas bintang Mesir, Mohamed Salah, disisihkan daripada tiga perlawanan berturut-turut.
Peminat di negara asalnya berang dan kecewa selepas Salah mendakwa dirinya “dikorbankan” oleh pengurus Arne Slot.
Akibatnya, perlawanan Liverpool–Inter Milan langsung tidak dipedulikan, malah pelanggan lebih rela main daun terup atau tengok telefon.
Menurut peminat tegar, Adel Samy, kafe itu pernah penuh sesak setiap kali Salah beraksi, namun kini tinggal beberapa pelanggan sahaja. “Dia tak patut diperlakukan begitu,” katanya.
Salah, yang menjaringkan 250 gol dalam 420 perlawanan, adalah ikon sukan terbesar Mesir, tetapi musim ini prestasinya merosot.
Ada peminat berpendapat sudah tiba masanya untuk Salah angkat kaki dari Anfield.
Kontraknya berbaki 18 bulan dan kelab-kelab Arab Saudi dilaporkan sedang mengintai peluang membawanya masuk pada jendela perpindahan musim sejuk.
Namun penganalisis percaya Salah lebih mementingkan legasi berbanding wang, selepas perjalanan kariernya dari kampung Nagrig hingga menjadi legenda Liverpool menginspirasi jutaan rakyat Mesir. – AFP