
HOLLYWOOD, Amerika Syarikat: Hollywood dihiasi dengan warna hitam dan labuci berkilauan kelmarin sempena tayangan perdana filem biografi Michael Jackson di Los Angeles, sekali gus menarik peminat “Raja Pop” ke jalan ikonik di California itu.
Filem Michael mengisahkan perjalanan artis legenda tersebut daripada bintang kanak-kanak kepada salah seorang ikon pop paling terkenal di dunia, dan ditayangkan 16 tahun selepas kematiannya.
Filem itu pada mulanya ditayangkan di Eropah dan akan mula ditayangkan di pawagam Amerika Syarikat Jumaat ini.
“Menarik menyaksikan kehadiran orang ramai di sini bagi menyokong Michael Jackson dan filem ini, serta menzahirkan kasih terhadap beliau,” kata pengarah filem itu, Antoine Fuqua, kepada AFP.
Tayangan perdana di Los Angeles, tempat tinggal penyanyi yang popular dengan lagu Billie Jean turut menjadi acara keluarga yang diterajui oleh pelakon utama filem berkenaan, iaitu anak saudaranya, Jaafar Jackson.
“Ini merupakan kali pertama saya berlakon dan berpeluang melakonkan watak bapa saudara saya, Michael; pengalaman ini amat sukar digambarkan,” kata Jaafar kepada AFP.

“Saya masih cuba menghayatinya dan belum benar-benar menyedari kesannya atau bila ia akan benar-benar dirasai. Namun begitu, pengalaman ini amat luar biasa,” tambahnya.
Lakonan Jaafar menerima pujian daripada bapa saudara beliau, yang menyifatkan pelakon baharu itu berjaya menghidupkan watak seorang figura yang mereka kenali dengan begitu rapat.
“Apabila saya menonton filem ini, saya seolah-olah melihat Michael di atas pentas… Dia melaksanakan peranannya dengan sangat baik sehingga membuatkan saya menitiskan air mata,” kata abang Michael, Jackie Jackson, di karpet hitam.
Marlon Jackson, seorang lagi anggota kumpulan Jackson 5, kumpulan remaja yang menjadi titik permulaan kerjaya seni Michael berkata filem itu berpotensi memberikan gambaran kepada penonton tentang kehidupan keluarga terkenal tersebut.
“Saya percaya orang ramai akan memahami bahawa keluarga Jackson tidak berbeza daripada keluarga lain. Kami melalui pelbagai cabaran dan dugaan, naik turun kehidupan, namun kami belajar untuk menerima perbezaan pendapat,” katanya.

Acara Keluarga
Marlon, Jackie, Jaafar dan La Toya Jackson, salah seorang adik-beradik Michael saling berpelukan di karpet hitam sambil bertemu pelakon yang melakonkan watak mereka serta ibu bapa mereka dalam filem tersebut.
Nia Long, yang melakonkan watak Katherine, ibu Michael dan penyokong rapatnya, berkata bahawa dalam dunia yang didominasi lelaki, wanita dalam keluarga itu menjadi asas kepada hala tuju keluarga tersebut.
Pelakon itu berharap filem berkenaan membolehkan penonton melihat Michael Jackson sebagai seorang artis yang menguasai bidang seninya serta individu yang amat prihatin terhadap kemanusiaan.
Bagi Colman Domingo, yang melakonkan watak bapa Michael yang tegas, Joe Jackson: “Setiap orang mempunyai kisah, dan setiap orang mempunyai sesuatu yang boleh dipelajari, sama seperti sebuah album yang hebat.”
“Diharapkan filem ini menjadi seperti sebuah album yang hebat kepada seseorang, dan jika mereka dapat mengambil sesuatu daripadanya, maka kami telah melaksanakan tanggungjawab kami.” – AFP