



KUALA LUMPUR: Seminggu selepas Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 melabuhkan tirai, rata-rata peminat masih dibuai euforia dan meluahkan harapan agar dua nama besar Indonesia, Juicy Luicy dan Tulus, kembali tahun depan dengan tempoh persembahan lebih lama.
Menghimpunkan 8,000 penonton untuk dua sesi di Mega Star Arena, di sini pada 17 Ogos lepas, festival dipersembahkan Expoindo bersama-sama Thrive itu membuktikan muzik bukan sahaja menghiburkan tetapi juga ruang inspirasi serta medan emosi untuk generasi muda di Malaysia.
Menariknya, rata-rata peminat hadir dengan gaya colour blocking seperti gabungan biru, kuning, jingga, beige dan putih menjadikan suasana festival lebih meriah seakan pesta warna yang menggambarkan jiwa muda dan segar RIF 2025.
Seawal 1.30 tengah hari, penyanyi kelahiran Brunei Aziz Harun membuka tirai dengan rangkaian lagu popular termasuk Senyum dan Teman, sebelum Tulus mengambil alih pentas pada 2.30 petang dengan 13 lagu malar segar seperti Sewindu, Monokrom, Teman Hidup dan Hati-hati di Jalan.
Persembahan penyanyi berkarisma itu yang diiringi kumpulan pemuzik orkestra jaz tempatan meninggalkan kesan mendalam, apabila setiap bait lirik dinyanyikan bersama-sama penonton bagaikan sebuah koir penuh emosi.
Tatkala malam menjelma, giliran Juicy Luicy memonopoli pentas bermula 8.30 malam dengan gimik intro daripada lagu Bukan Orangnya yang menerima sorakan gemuruh peminat.
Susunan lagu penuh energi termasuk Malapetaka, Tanpa Tergesa, Mawar Jingga, Lampu Kuning, Lantas dan Sialan, menjadikan dewan bergema dengan sing along tidak putus-putus.
Walaupun tempoh persembahan kumpulan pop alternatif itu dirasakan singkat, setiap lagu yang dibawakan begitu padat, segar dan sarat emosi sehingga mencipta pengalaman yang memuaskan buat penonton.
Vokalisnya Julian Kaisar tidak hanya menguasai pentas tetapi beberapa kali turun menyapa peminat, bergambar sambil meneruskan nyanyian yang menjadikan interaksi itu antara momen paling diingati.
Lebih mencuit hati apabila beliau berseloroh dengan bertanyakan siapa antara peminat yang hadir membawa hati duka dan belum “move on” sebelum mengusik mereka dengan tip healing jogging mengikut trend masa kini.
Usikan spontan itu menceriakan suasana, sekali gus mengikat hubungan mesra antara artis dan penonton.
RIF 2025 turut diserikan dengan persembahan pembukaan penyanyi tempatan Aizat Amdan yang tampil sekitar 7.30 malam mendendangkan lagu-lagu ikoniknya seperti Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita, memanaskan suasana menjelang kemunculan Juicy Luicy.
Secara keseluruhan, RIF 2025 membawa konsep baharu yang menyatukan muzik dengan inspirasi, menjadikannya lebih daripada sekadar sebuah konsert.
Dari siang hingga malam, penonton disajikan dengan perjalanan emosi, warna-warni persembahan serta perkongsian jiwa yang jarang ditemukan dalam festival muzik konvensional.
“Kalau boleh, setiap tahun mahu kembali ke Malaysia, bahkan kalau ada rezeki, dua kali setahun,” kata Julian yang menutup pentas dengan penuh semangat, disambut sorakan tanpa henti peminat.
Harapan peminat kini jelas agar RIF kembali tahun depan dengan sajian lebih panjang kerana muzik Tulus dan Juicy Luicy telah berjaya menjadikan Kuala Lumpur medan inspirasi, penyembuh jiwa dan ruang yang menyatukan peminat daripada pelbagai generasi.
Tidak mustahil juga sekiranya penganjur pada edisi akan datang mempertimbangkan untuk membawa masuk nama besar lain seperti Sheila On 7, Armada, D’Masiv dan Hindia, sekali gus memperluas warna muzik serta daya tarikan RIF.– Bernama