Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Peminat Liverpool sindir aksi sulung Alexander-Arnold di Real Madrid
  • SUKAN

Peminat Liverpool sindir aksi sulung Alexander-Arnold di Real Madrid

Utusan Sarawak 3 weeks ago

Pemain pertahanan Real Madrid, Trent Alexander-Arnold ketika membuat penampilan sulung La Liga menentang Osasuna di Estadio Santiago Bernabeu, Madrid. – Foto AFP

MADRID: Penampilan sulung Trent Alexander-Arnold dalam La Liga bersama Real Madrid tidak berjalan lancar dan sebahagian penyokong Liverpool nyata terhibur melihat bekas tonggak mereka bergelut.

Pemain pertahanan kanan England itu menyertai Real Madrid pada Jun lalu sekali gus menamatkan 20 tahun perkhidmatan bersama kelab masa kecilnya, Liverpool.

Perpindahan itu menerima reaksi bercampur baur, ada yang menghargai jasanya serta menghormati keputusan untuk berpindah, manakala sebahagian lain masih pahit dengan cara perpindahan itu berlaku.

Rasa tidak puas hati itu kembali terserlah apabila Alexander-Arnold bergelut pada aksi menentang Osasuna, awal pagi semalam.

Dia dikeluarkan pada minit ke-68 selepas gagal memenangi sebarang perebutan bola, hilang penguasaan sebanyak 15 kali, serta dimalukan dengan satu ‘nutmeg’, meskipun 49 daripada 52 hantaran yang dilakukannya tepat.

Dalam bola sepak, angka di atas kertas tidak menceritakan segala-galanya, namun ramai penyokong Reds tetap puas melihat bekas pemain mereka ditimpa kesukaran.

“Bukankah seronok bila tidak perlu lagi berpura-pura Trent pemain pertahanan kanan terbaik dunia?” sindir seorang penyokong di laman sosial X.

“Dia akan kembali ke Aston Villa dalam tempoh 18 bulan,” kata yang lain.

“Setiap kali Trent main teruk, saya akan jadi penonton barisan depan,” tulis seorang lagi.

Trent Alexander-Arnold (kiri) bersaing dengan pemain Osasuna, Aimar Oroz. – Foto AFP

Namun terdapat juga penyokong yang lebih rasional, malah masih menyimpan rasa hormat terhadap pemain berusia 26 tahun itu.

“Ada beberapa hantaran silang yang cantik, cuma tiada rakan sepasukan di posisi tepat untuk menyudahkannya,” ujar seorang penyokong.

“Dia perlukan masa untuk serasi dengan pasukan baharu. Dia pemain hebat untuk Liverpool dan akan jadi pemain penting untuk Madrid,” tegas seorang lagi.

Malah ada yang mengingatkan: “Hormatilah produk terbaik akademi kelab anda.”

“Anda semua macam bekas kekasih yang tidak tahu nak move on,” kata seorang penyokong.

Statistik turut menunjukkan hanya satu daripada tujuh hantaran silang Alexander-Arnold tiba ke sasaran dengan sesetengah penyokong menegaskan ia lebih kepada kelemahan Kylian Mbappe yang bukan jenis penyerang fizikal untuk menanduk bola.

Selain itu, Alexander-Arnold juga masih menyesuaikan diri dengan sistem taktikal Xabi Alonso serta corak larian rakan sepasukan, yang boleh menjelaskan mengapa hantaran jauhnya kurang menjadi.

Wartawan The Times, Ian Hawkey menilai persembahannya sebagai “memuaskan dan cukup kemas” bagi aksi sulung di Santiago Bernabeu.

Namun kedudukannya tidak terjamin kerana perlu bersaing dengan Dani Carvajal, 33, yang sudah memenangi 26 trofi bersama Real Madrid.

Continue Reading

Previous: Simanggang berpotensi jadi venue tinju Sukan SEA 2027
Next: SKUAD Antidadah Sibu anjur aktiviti badminton sempena Kempen 5K

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.