
LONDON: Peminat kelab Liga Perdana Inggeris iaitu Arsenal, Liverpool, Chelsea dan Manchester United dikenal pasti sebagai sasaran utama penipu yang menjual tiket palsu, lapor Xinhua.
Satu laporan baharu yang dikeluarkan pada Isnin oleh kementerian dalam negeri Britain, Pejabat Dalam Negeri, menyatakan bahawa penipuan tiket meningkat sebanyak 36 peratus dalam tempoh enam bulan lepas berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Menurut laporan itu, mangsa penipuan tiket kerugian secara purata sebanyak £215 (AS$292), walaupun ada yang mengalami kerugian jauh lebih besar.
Jumlah keseluruhan wang yang hilang akibat penipuan itu meningkat 42 peratus berbanding tempoh enam bulan yang sama tahun lepas.
“Segelintir peminat membayar beratus-ratus malah beribu-ribu paun untuk ‘tiket bermusim’ atau tempat duduk VIP yang sebenarnya tidak wujud,” katanya.
“Peminat bola sepak yang berharap (untuk menonton perlawanan) dijangka membayar lebih tinggi bagi tiket Piala Dunia yang mahal, bermakna potensi kerugian bagi mangsa boleh menjadi amat besar – terutamanya bagi mereka yang mengeluarkan kos tambahan untuk perjalanan merentasi Atlantik.”
Hampir satu pertiga, atau 32 peratus daripada semua penipuan tiket adalah berkaitan dengan bola sepak, dengan penipu dijangka mengeksploitasi permintaan antarabangsa bagi perlawanan terbesar tahun ini.
Amaran Pejabat Dalam Negeri kepada peminat bola sepak itu dibuat hanya beberapa minggu sebelum Piala Dunia FIFA bermula di Amerika Utara.
Pejabat Dalam Negeri sedang menerajui kempen ‘Stop! Think Fraud’ bersama agensi penguatkuasaan undang-undang, bank, syarikat teknologi, peruncit dan badan kebajikan.
Kempen itu bertujuan melengkapkan individu dan perniagaan kecil dengan peralatan serta pengetahuan yang diperlukan bagi melindungi diri mereka daripada penipuan.
Pejabat Dalam Negeri turut mengeluarkan senarai semak bagi membantu peminat mengenal pasti sama ada mereka sedang ditipu. – Bernama