Pemimpin perlu bergerak pantas, berani cabar cara lama

Facebook
WhatsApp
SETIAUSAHA Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki berucap mengenai kepentingan kepimpinan pantas, keberanian mencabar cara lama dan usaha memperkukuh transformasi organisasi pada SCOPE 2026 di sebuah hotel di Kuching, hari ini. Foto Ukas

KUCHING: Pemimpin organisasi perlu bergerak pantas menghadapi perubahan dan berani mencabar cara kerja lama supaya usaha transformasi tidak sekadar mengubah sistem, sebaliknya menghasilkan keputusan yang bermakna serta boleh diukur.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, berkata kepimpinan perlu menjadi pemacu perubahan dengan menetapkan hala tuju yang jelas, kekal terbabit dalam pelaksanaan dan berani membuat keputusan pada masa yang tepat.

“Pemimpin perlu menetapkan rentak transformasi. Kita perlu bergerak cukup pantas untuk bertindak balas terhadap perubahan, tetapi kepantasan sahaja bukan ukuran kejayaan. Transformasi mesti menghasilkan keputusan yang bermakna dan boleh diukur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada pembukaan Sarawak Corporate Leadership Summit 2026 (SCOPE) di sebuah hotel di Kuching, hari ini.

Menurutnya, transformasi bukan sekadar melakukan penstrukturan semula atau memperkenalkan sistem baharu, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada usaha harian organisasi untuk memperbaiki cara kerja dan penyampaian perkhidmatan.

Beliau mengingatkan pemimpin supaya tidak terus membawa cara lama ke dalam persekitaran baharu, sebaliknya menilai semula perkara yang masih berkesan, mengenal pasti kelemahan dan mencari pendekatan yang lebih baik.

“Jika kita mahu mendigitalkan sesuatu proses, kita perlu menyemak dan memudahkan proses itu terlebih dahulu. Jangan sampai teknologi hanya digunakan untuk mengautomatikkan proses yang tidak cekap,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan pendekatan 3R iaitu Revisit, Rethink dan Recharge sebagai panduan kepada organisasi dalam menghadapi perubahan.

Revisit menuntut organisasi menyemak semula proses dan mengenal pasti perkara yang masih memberi nilai serta perkara yang menjadi penghalang.

Rethink pula menggalakkan pemimpin bertanya sama ada terdapat cara yang lebih baik, mudah dan berkesan dalam melaksanakan sesuatu tugas, termasuk melalui perkongsian sumber dan kerjasama antara organisasi.

Recharge pula memberi penekanan kepada pelaburan terhadap modal insan, termasuk meningkatkan kefahaman digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab serta keupayaan kepimpinan.

Dalam masa sama, beliau berkata pemimpin perlu memastikan usaha transformasi tidak terhenti pada peringkat perancangan, sebaliknya dipantau sehingga pelaksanaannya benar-benar memberi kesan.

“Pemimpin perlu terus terbabit dalam pelaksanaan, mencabar amalan sedia ada, membuat keputusan pada masanya dan memastikan perkara yang dirancang benar-benar dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata tanggungjawab itu lebih besar bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun yang mengurus aset strategik, pelaburan serta pelbagai inisiatif pembangunan Sarawak.

Katanya, perubahan teknologi, pasaran dan keadaan ekonomi yang pantas memerlukan organisasi sentiasa meningkatkan keupayaan, bekerjasama dan mengamalkan pembelajaran berterusan.

Pada masa sama, pemimpin hari ini perlu membangunkan barisan kepimpinan masa depan dengan memastikan aspek strategi, kewangan, risiko dan tadbir urus terus diperkukuh.

Beliau berkata, pemimpin baharu juga perlu dilatih untuk bertanya soalan yang tepat serta berani memberikan pandangan dan cabaran secara konstruktif terhadap sesuatu keputusan.

Menjelang suku terakhir 2026, beliau mengingatkan bahawa tempoh menuju 2030 semakin singkat dan masa untuk melaksanakan pelbagai perancangan pembangunan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Bertanyalah soalan yang sukar. Cabar cara lama. Beranilah. Kemukakan idea baharu dan yang lebih penting, pastikan idea itu diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.

Beliau berharap peserta SCOPE 2026 menggunakan platform itu untuk berkongsi pandangan, belajar daripada pengalaman serta mencari pendekatan baharu yang boleh memperkukuh ekosistem GLC dan badan berkanun bagi menyokong aspirasi pembangunan Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi