
SANTUBONG: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri menegaskan kepimpinan dalam pendidikan digital menjadi kunci utama dalam membina generasi masa depan yang fasih teknologi serta beretika.
Beliau berkata tema program kali ini iaitu ‘Kepimpinan Digital Pemacu Reformasi Pendidikan’ bertepatan dengan aspirasi negara dan negeri untuk melahirkan generasi celik digital yang berdaya saing dalam era teknologi baharu.
“Sarawak telah menetapkan hala tuju jelas untuk menjadi negeri maju berteknologi menjelang 2030. Melalui inisiatif seperti Pusat Komuniti Digital (DCC) dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), kita mahu memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati peluang sama rata dalam dunia digital,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutupan pada Program Permukiman Pemimpin Pendidikan Digital Madani Sekolah Terintang Negeri Sarawak anjuran Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak di sini, hari ini.

Katanya, usaha itu berdepan cabaran seperti jurang digital antara bandar dan luar bandar, keperluan latihan berterusan untuk guru serta jaminan kandungan digital yang berkualiti dan sesuai untuk semua murid.
“Kemunculan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), jurang ini berpotensi melebar jika kita tidak membuat persediaan dari sekarang. Anak-anak kita perlu dibekalkan dengan kemahiran agar bersedia bersaing dalam pekerjaan dan kehidupan masa depan,” ujarnya.
Nancy menegaskan peranan pemimpin pendidikan digital amat besar dalam memastikan guru dan murid menguasai teknologi serta membina ekosistem pendidikan digital yang inklusif dan berwawasan.
“Transformasi ini hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat semua pihak kerajaan, sekolah, guru, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta. Apabila berganding bahu, kita mampu melahirkan generasi bukan sahaja mahir teknologi tetapi juga berakhlak mulia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalaman menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2025 di Incheon, Korea baru-baru ini yang menekankan kepentingan pendedahan digital kepada semua lapisan masyarakat.
“Lebih-lebih lagi ketika AI semakin berkembang, penting bagi kita memahami manfaat sebenar yang boleh dimanfaatkan, berbanding elemen yang berpotensi mengelirukan,” tambahnya.
Oleh Norman B