Pemimpin pelapis perlu dipersiapkan, perjuangan PBB diteruskan

Facebook
WhatsApp
HADIR...Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat yang lain semasa hadir pada Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, hari ini.

MIRI: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu mempersiapkan generasi pelapis bagi memastikan perjuangan parti dan pembangunan Sarawak terus diperkukuh, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, proses pertukaran kepimpinan merupakan lumrah alam dan perlu diterima dengan hati terbuka demi memastikan kesinambungan perjuangan parti.

“Kita sebagai ahli sekarang mesti menyediakan anak kita kerana anak kitalah yang akan menggantikan kita. Pemimpin bertukar ganti. Ada masanya kita berkata terima kasih dan mengundur diri supaya orang baharu menggantikan kita.

“Sebab semangat PBB mesti diteruskan oleh orang yang sayang kepada Sarawak,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, hari ini.

Abang Johari berkata, pemimpin muda perlu dilatih dan diberi pendedahan secukupnya bagi memastikan mereka mampu memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.

“Mereka mesti dididik supaya dapat bergaul dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama. Ini penting supaya mereka tidak menjadi pemimpin yang toksik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak berkecil hati sekiranya berlaku perubahan dalam barisan kepimpinan, sebaliknya menerima peralihan itu sebagai sebahagian daripada perjalanan sesebuah organisasi.

“Jangan kecil hati kalau berlaku pertukaran. Ini lumrah alam, yang tua akan diganti oleh yang muda.

“Kita tidak boleh melawan fitrah alam. Walaupun hati masih muda, kita perlu menerima hakikat bahawa akan tiba masanya pemimpin baharu mengambil alih,” katanya.

Abang Johari berkata, walaupun berlaku pertukaran kepimpinan, PBB akan terus kukuh kerana parti itu mempunyai sistem dan asas perjuangan yang mampu memastikan kesinambungan kepimpinan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pemimpin terdahulu yang telah membimbing dan melatihnya sehingga mampu memikul tanggungjawab kepimpinan negeri.

“Terima kasih kepada pemimpin terdahulu yang telah mendidik dan melatih saya. Jadi, sekarang kita juga perlu melatih orang muda,” katanya.

Abang Johari dalam ucapannya  turut memberi bayangan bahawa beliau mungkin mengundurkan diri daripada kepimpinan politik  selepas menamatkan penggal terakhirnya.

“Ini mungkin penggal terakhir saya. Walaupun hati muda, tapi saya akan buat keputusan bila masanya sampai,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Suasana pilu iringi kepulangan mendiang Debra

PADAWAN: Suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga mendiang Debra Moset apabila jenazah jururawat yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS)