
SIMANGGANG: Pembelajaran asas teknologi maklumat (IT) kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan satu keperluan mendesak yang wajib dikuasai oleh semua lapisan kepimpinan dalam mendepani era digital yang serba pantas.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie menegaskan bahawa penguasaan ilmu tersebut amat kritikal bagi memastikan sistem penyampaian maklumat kepada rakyat kekal efisien dan selari dengan perkembangan zaman.

Menurut beliau, golongan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memikul tanggungjawab besar untuk menjadi suri teladan kepada komuniti setempat dalam memanfaatkan teknologi.
”Langkah ini penting demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, di mana pemimpin akar umbi harus berada di hadapan dalam mengadaptasi kemudahan digital yang tersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Bengkel Pemantapan IT KMKK Parlimen Sri Aman yang berlangsung di sini, semalam.

Doris turut menyatakan bahawa penganjuran bengkel teknikal seperti itu mampu melahirkan barisan pemimpin masyarakat yang lebih relevan dan cekap menguruskan tugasan harian.
Kelebihan memiliki kemahiran IT juga membolehkan KMKK tampil lebih berdaya saing, khususnya dalam aspek pengurusan organisasi serta akses terus kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan secara dalam talian.
Secara tidak langsung, penguasaan teknologi ini dilihat dapat memperkukuhkan komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat setempat melalui platform media sosial atau aplikasi pemesejan.
Mengulas lanjut mengenai program tersebut, bengkel berkenaan merupakan siri kelima yang dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Pusat Khidmat Parlimen Sri Aman dan Sarawak Skills Sri Aman.
Turut hadir menyerikan majlis, Temenggong Leonard Libau, Pemanca Daniel Sawing, barisan Penghulu sekitar P.202 Sri Aman, para Kaunselor serta tenaga pengajar daripada Sarawak Skills.
Oleh Adi Safarman