MENTERI Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan) menyampaikan replika cek kepada
ketua peserta Felcra Pong Selatan Ibrahim Awang Besar (kiri) pada Majlis Iftar Warga Felcra Padang Terap di
Pusat Komuniti Padang Kerasak Naka Kuala Nerang semalam. • Foto BERNAMA
KUALA NERANG: Pemimpin masyarakat setempat diharap dapat menyalurkan maklumat berkenaan kehidupan miskin dan daif individu atau keluarga di kawasan masing-masing kepada agensi kerajaan agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan kepada mereka.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketua kampung, penghulu atau ahli jawatankuasa kariah masjid boleh membantu golongan miskin ini kerana ada antara mereka yang tidak tahu cara mendapatkan bantuan.
“Yang saya bimbang itu dia tidak dapat sampaikan info dia miskin kepada orang lain. Dia miskin lepas itu tidak ada siapa yang ambil kisah mengenai dia, tiada siapa yang ambil tahu. Akhirnya pemberita (media) yang dapat tahu.
“Kalau pemberita dapat tahu pun tidak mengapa, boleh bagi maklumat kepada kita (kerajaan). Kadang-kadang saya tengok yang tular itu yang jumpa dulu media,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar bersama Warga Felcra Padang Terap di Naka, dekat sini Sabtu lalu.
Beliau diminta mengulas mengenai isu kehidupan daif seorang remaja Wan Akid Afham Wan Mohd Ruhsemadi, 13, yang tinggal di sebuah rumah yang sudah rosak dan separuh roboh bersama keluarganya di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan.
Kisah kehidupan Wan Akid Afham atau lebih dikenali dengan panggilan Akid itu tular sejak beberapa hari lepas dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pendakwah bebas Ebit Lew yang tampil membantu remaja itu dan keluarganya.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata kementeriannya menerusi beberapa agensi mempunyai pelbagai program bagi membantu keluarga miskin termasuk membaik pulih atau membina rumah baharu untuk mereka.
Menurutnya, di Kelantan program baik pulih atau membina rumah untuk rakyat termiskin dilaksanakan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang boleh dipohon sekiranya rumah rosak akibat ribut, banjir ataupun telah uzur.
“Kita ada peruntukan untuk baiki rumah, tapi siapa yang nak tolong dia? Yang nak tolong dia ini sama ada ketua kampung, penghulu mukim dan pejabat daerah untuk bawa maklumat itu kepada agensi kita,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata Felcra memperuntukkan sejumlah RM4.3 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan tanah rancangannya di seluruh negara pada tahun ini.
“Program itu termasuk pembangunan wanita, pembangunan ameniti sosial, ternakan dan tanaman, latihan kemahiran dan pembangunan rohani yang semuanya membabitkan RM4.3 juta yang diuruskan oleh Felcra,” katanya. – Bernama