SPAOH: Pemimpin masyarakat yang gagal untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap Covid-19 di rumah panjang atau kampung mereka boleh dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, pihak berkuasa yang berkenaan boleh mengeluarkan kompaun kepada mereka.
Menurutnya, ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk menjaga kesejahteraan penduduk mereka dan walaupun penduduk luar bandar telah banyak divaksinasi, itu bukan alasan untuk leka.
“Ia lebih-lebih lagi dengan varian Covid-19 baharu seperti Delta yang lebih menular dan berbahaya yang kini dikesan di negeri ini.
“Adalah sangat penting bagi pematuhan SOP untuk dititik beratkan, terutama di majlis pengebumian dan aktiviti sosial yang akan mengumpulkan orang ramai. Sekiranya ada pengebumian, ketua kaum rumah panjang yang berkenaan perlu memberitahu pejabat daerah.
“Ini adalah untuk membolehkan langkah kawalan orang ramai untuk dikuatkuasakan kerana tempat tersebut sangat senang untuk virus merebak seperti di Kluster Pasai, kluster terbesar di negeri ini setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Kepolisan Komuniti Khas untuk 49 pemimpin masyarakat dari sini semalam.
Mengenai isu yang sama, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, sehingga kini, 22 kluster telah disebabkan oleh perhimpunan majlis pengebumian di seluruh negeri dengan 4,466 kes positif dan 35 kematian.
Sementara itu, beliau menyeru bagi mereka yang masih ragu-ragu untuk mendapatkan vaksinasi untuk mendapatkan vaksin sekarang.
Selain terkena virus, mereka juga akan menjadi punca pendedahan kepada yang lain.
Beliau berkata mereka juga boleh terlepas daripada beberapa kebebasan sekatan yang akan dinikmati oleh mereka yang sudah disuntik dan yang dijangka diumumkan oleh kerajaan persekutuan tidak lama lagi.
Malahan mereka mungkin dipulaukan oleh komuniti mereka.
Pegawai Kesihatan bahagian Betong, Dr. Johnny Pangkas dalam ucapannya mengatakan bahawa tindak balas terhadap operasi vaksinasi di bahagian itu sangat baik.
“Majoriti sebanyak 80 peratus telah menerima vaksinasi ini adalah kerana kerjasama dan semangat berpasukan terbaik dari semua barisan hadapan dan orang ramai.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Uggah, anggota parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, ADUN Layar, Gerald Rentap dan yang lain atas sumbangan dan perkhidmatan mereka,” ujarnya
Dr. Johnny juga mengingatkan ketua rumah panjang untuk mendaftarkan semua yang di mana-mana majlis pengebumian atau sosial termasuk nombor telefon bimbit mereka.
“Sekiranya ada keperluan untuk kami melakukan operasi pengesanan kes aktif, perinciannya akan memudahkan kami menghubungi semua yang bersangkut paut dengan cepat,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO