
SIBU: Pemimpin komuniti perlu memperkukuhkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat serta bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dunia digital yang dipacu kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan automasi.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, peranan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) amat penting dalam memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.
“Peranan pemimpin komuniti bukan sahaja berperanan menyampaikan maklumat kerajaan, malah menjadi saluran penting untuk menyuarakan keperluan serta kebimbangan rakyat kepada pihak pentadbiran,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Residen Sibu, Maria Nadja Jimmy pada majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu, malam tadi.
Katanya, sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sekadar acara kebudayaan, sebaliknya melambangkan perpaduan serta kekuatan masyarakat pelbagai kaum di Bahagian Sibu.
“Dunia kini berada dalam era transformasi teknologi yang dipacu oleh AI, ekonomi digital dan automasi.
Sehubungan itu, pemimpin komuniti perlu memainkan peranan lebih proaktif.
“Ini termasuk memahami dasar baharu kerajaan, membantu masyarakat mengakses perkhidmatan digital serta menggalakkan penyertaan generasi muda dalam program pembangunan kemahiran,” ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa integriti merupakan asas utama kepimpinan kerana kepercayaan masyarakat adalah aset paling berharga bagi seseorang pemimpin.
Menurutnya, masyarakat Cina di Bahagian Sibu telah lama memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pendidikan serta kesejahteraan sosial di kawasan ini.
“Semangat keusahawanan, disiplin dan komitmen terhadap pendidikan merupakan kekuatan yang perlu terus dipupuk demi kemajuan masyarakat dan negeri,” katanya
Beliau turut menggesa semua pihak untuk terus memperkukuh perpaduan, meningkatkan kerjasama antara komuniti dan kerajaan serta bersama-sama menghadapi cabaran masa depan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sibu Tsong Chow Choon, Pengerusi Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu, Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming dan pengerusi penganjur Penghulu Yong King Sung.
Oleh Akun Giman