
DARO: Pemimpin masyarakat di peringkar akar umbi disaran menguasai ilmu teknologi dan kemahiran digital bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berperanan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat setempat dalam penyampaian maklumat, pembangunan komuniti serta kebajikan rakyat.

“Pemimpin masyarakat perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, termasuk dalam bidang teknologi selaras dengan perkembangan semasa, terutama dalam penyediaan laporan, pengurusan data serta penyampaian maklumat kepada pihak berwajib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian penangguhan Bengkel Pemantapan Kepimpinan KMKK serta Setiausaha JKKK Daerah Daro dan Matu Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Daro, semalam.
Menurutnya, bengkel seumpama itu wajar diteruskan kerana bukan sahaja memberi pendedahan berkaitan kepimpinan dan pentadbiran, malah memperkukuh kefahaman KMKK dan JKKK terhadap dasar serta hala tuju Kerajaan Sarawak.

Beliau turut memaklumkan bahawa program sama sebelum ini telah dilaksanakan di kawasan DUN Daro melibatkan Daerah Sibu dan Daerah Meradong, manakala penganjuran di Daerah Daro serta Matu melengkapkan usaha berterusan bagi memperkukuh kepimpinan komuniti di seluruh kawasan berkenaan.
Pada majlis tersebut, Dr Safiee turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Jawatankuasa Perayaan Daerah Daro bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan di daerah itu.
Turut hadir Pegawai Daerah Daro, Zul Usup, wakil Residen Bahagian Mukah, Siti Hazerah Bolhi, ketua-ketua serta wakil jabatan kerajaan, KMKK dari kawasan N.43 Daro serta Daerah Matu.
Oleh Akun Giman