BEIJING: Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban pada Ahad menerima suntikan vaksin Covid-19 Sinopharm China.
“Divaksin!” tulis Orban di Facebook selain memaparkan gambar dirinya sedang disuntik, dua hari selepas Presiden Hungary Janos Ader menerima suntikan, lapor Agensi Berita Xinhua.
Pemimpin Hungary antara pemimpin dunia yang menerima vaksin pada peringkat awal kempen vaksinasi, simbolik untuk lenyapkan keraguan dan tingkatkan keyakinan rakyat.
Di Britain, Ratu Elizabeth II, 94, dan suaminya Duke of Edinburgh, 99, menerima vaksin pada Januari. Ratu baru-baru ini turut menggalakkan rakyat Britain untuk mengambil suntikan vaksin dan “memikirkan tentang orang lain.”
“Sejauh yang saya tahu, ia tidak berbahaya. Dan suntikan itu “langsung tidak menyakitkan,” kata baginda.
Beberapa hari kemudian Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) menerima suntikan vaksin Covid-19 dibangunkan syarikat China, Sinovac Biotech. Kemudian disusuli panglima tentera, ketua polis dan menteri kesihatan.
Tidak ketinggalan Perdana Menteri Australia Scott Morrison menjadi antara penerima vaksin Covid-19 pertama di Australia minggu lalu . Beliau menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer.
“Esok program vaksinasi kita akan bermula, sebagai pembuka tirai hari ini saya tekankan beberapa perkara yang sangat penting; ia selamat, itu paling penting, dan kita harus memulakannya dengan mereka yang paling terdedah dan berada di barisan hadapan,” kata Morrison.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menerima suntikan pertama pada 11 Januari, dan menyatakan harapannya untuk “mengembalikan negara kita ke landasan yang betul.”
Di Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan disuntik dos pertama pada 14 Januari serentak dengan bermulanya kempen vaksinasi Covid-19 besar-besaran.
Pada 12 Februari, Presiden Chile Sebastian Pinera menerima dos pertama vaksin CoronaVac bersama kumpulan lain yang berusia 71 tahun ke atas.
Selain itu, Presiden Senegal Macky Sall yang menerima vaksin pada 25 Februari, mahu semua individu berusia 60 tahun ke atas diberi vaksin yang sama seperti diterimanya dan anggota kerajaan lain.
Di Afrika Selatan, Presiden Cyril Ramaphosa antara individu terawal divaksin.
“Kami menyeru pemimpin di pelbagai sektor dan bahagian di negara ini untuk menunjukkan teladan dan divaksin secara terbuka,” katanya. -Bernama