Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pemilik rumah terjejas kumbahan digesa tuntut bayaran balik
  • Tengah
  • WILAYAH

Pemilik rumah terjejas kumbahan digesa tuntut bayaran balik

Utusan Sarawak 19 hours ago
DATUK Michael Tiang ketika bertemu pemilik rumah di Rejang Park.

SIBU: Pemilik rumah di Rejang Park yang terjejas akibat masalah sistem kumbahan yang berlarutan selama lebih 10 tahun digesa tampil menuntut bayaran balik bagi kos pembaikan tandas yang dilakukan dengan wang sendiri.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata kerajaan Sarawak telah meluluskan bantuan kewangan kepada kira-kira 320 pemilik rumah yang sebelum ini menanggung kos membaiki tandas rosak akibat kegagalan sistem kumbahan berpusat yang dibina pada 1970-an.

“Sistem kumbahan berpusat itu runtuh selepas lebih empat dekad, menjejaskan rumah kediaman dan lot kedai di kawasan tersebut.

“Tandas tidak dapat digunakan, sekali gus menimbulkan isu kebersihan dan kesihatan yang serius,” katanya ketika sesi tinjauan mesra bersama penduduk Rejang Park, malam tadi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu, semasa beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak pada 2018, beliau telah mengemukakan permohonan kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya memohon peruntukan sebanyak RM3 juta untuk membaiki tandas dengan menggantikan sistem kumbahan berpusat kepada sistem tangki septik individu.

“Syukur, permohonan itu telah diluluskan dan projek berkenaan dilaksanakan di bawah kendalian Majlis Perbandaran Sibu (MPS),” jelasnya.

Tiang, berkata kebanyakan rumah kediaman telah siap dibaiki, manakala beberapa lot kedai komersial masih menggunakan sistem berpusat yang telah dinaik taraf.

Bagaimanapun, selepas pelaksanaan projek tersebut, Tiang menerima rayuan daripada pemilik rumah yang telah membelanjakan wang sendiri untuk membaiki tandas sebelum projek dijalankan.

“Mereka memohon bayaran balik kerana pihak lain telah menerima manfaat melalui inisiatif kerajaan.
Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021, saya berjanji kepada mereka bahawa jika saya dipilih, saya akan memperjuangkan bayaran balik ini,” katanya.

Menurut Tiang, selepas melalui proses teknikal yang panjang, beliau sekali lagi menerima kelulusan daripada Premier Sarawak untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada baki 320 isi rumah berkenaan.

Namun begitu, cabaran utama kini ialah mengesan pemilik harta yang sah.

“Kapitan kita telah berusaha mengenal pasti semua pemilik, namun terdapat yang sukar dijejaki, ada yang telah meninggal dunia tanpa memindahkan hak milik, ada yang menetap di luar negara, dan ada juga yang bimbang ditipu lalu enggan memberikan kerjasama.

“Oleh itu, saya sendiri turun padang dari rumah ke rumah untuk memberi penerangan dan jaminan bahawa ini adalah inisiatif tulen daripada kerajaan,” katanya.

Tambahnya, jumlah bayaran yang akan disalurkan akan diumumkan kemudian, namun keutamaan kini ialah mengenal pasti semua penerima yang layak.

“Pemilik rumah yang layak diminta menghubungi Pusat Khidmat SUPP Pelawan dan membawa dokumen pengenalan seperti MyKad, geran tanah, dan bil penilaian terkini untuk pengesahan hak milik.

Bayaran balik ini khusus untuk pemilik rumah, bukan penyewa. Kita mahu pastikan bantuan ini sampai kepada yang benar-benar berhak,” tegasnya.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Huang sampaikan peruntukan MRP kepada 22 komuniti Meradong
Next: Pelantikan KMKK baharu perkukuh jaringan kepimpinan komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.