
KUCHING: Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan isu pampasan melibatkan seorang pemilik rumah yang hartanahnya rosak akibat projek Pembetungan Pusat Kuching di Petra Jaya.
Chong berkata, seorang pemilik rumah berusia 69 tahun, Norasmara telah menemuinya di pejabat hari ini selepas gagal menerima pampasan selama lebih tiga tahun.
“Beliau membeli rumah tersebut di Petra Jaya pada Oktober 2022 dan telah didaftarkan secara sah sebagai pemilik rumah dengan Pejabat Tanah dan Survei pada Disember 2022,” katanya.
Menurut Chong, rumah tersebut mengalami kerosakan akibat projek Pembetungan Pusat Kuching dan pampasan berjumlah RM166,000 telah dibayar melalui agensi kerajaan pada Mac 2023.
“Namun begitu, walaupun status pemilikan beliau telah didaftarkan beberapa bulan sebelum bayaran dibuat, pampasan tersebut telah dibayar kepada benefisiari pemilik lama yang telah meninggal dunia pada 2022,” katanya.
Chong menjelaskan bahawa dalam keadaan tersebut, benefisiari harta pusaka pemilik lama sepatutnya memulangkan wang itu kepada pihak berkuasa atau membayarnya kepada pemilik rumah semasa.
“Dengan mengetahui bahawa mereka tidak lagi mempunyai sebarang kepentingan ke atas rumah tersebut dan pampasan berkenaan, benefisiari memilih untuk menyimpan wang itu. Ini merupakan satu perbuatan penipuan,” katanya.
Beliau berkata, pemilik rumah berkenaan telah mencuba semua saluran yang ada termasuk membuat laporan polis, mendapatkan bantuan wakil rakyat dan memulakan tindakan sivil di mahkamah.
“Selepas tiga tahun berulang alik dan menunggu, usahanya masih tidak membuahkan hasil. Beliau telah membelanjakan ribuan ringgit untuk melantik peguam dan akhirnya memperoleh perintah mahkamah terhadap sebahagian benefisiari, namun perintah itu tidak dapat dikuatkuasakan kerana mereka tidak dapat dikesan,” katanya.
Chong turut memaklumkan bahawa walaupun laporan polis telah dibuat pada Julai 2024, tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
“Dalam keadaan terdesak dan kecewa, beliau datang menemui saya hari ini untuk mendapatkan bantuan, dengan harapan pihak berkuasa akan mengambil tanggungjawab dan membayar pampasan yang sememangnya menjadi hak beliau,” katanya.
Chong berkata beliau telah menulis kepada pihak berkuasa berkaitan bagi mengetengahkan kes ini dan berharap ia dapat diselesaikan segera.
“Saya berharap keadilan dapat ditegakkan dan beliau akhirnya menerima pampasan yang sepatutnya menjadi miliknya,” katanya.
Oleh Connie Chieng