
SARATOK: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan ke atas seorang pemilik premis vape selepas didapati bersalah menaja penganjuran kejohanan futsal yang berkemungkinan menggalakkan promosi vape kepada orang awam.
Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 9(3)(a)(i) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya, bagi kesalahan mempromosi atau menaja produk merokok yang boleh menggalakkan orang ramai untuk merokok.
Menurut fakta kes, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melalui Sub Unit Risikan Seksyen Inspektorat dan Perundangan menerima maklumat berhubung penajaan “Pertandingan Futsal Piala Pusingan Anjuran Vape Station Kabong” yang dianjurkan oleh Gerakan Belia Komuniti Kabong (GBKK).
Siasatan mendapati kejohanan tersebut telah ditaja oleh perniagaan persendirian Vape Station Kabong, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang yang melarang sebarang bentuk promosi atau penajaan produk merokok, termasuk vape, khususnya dalam aktiviti melibatkan masyarakat dan belia.
Pegawai Pendakwa dari Seksyen Inspektorat dan Perundangan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Tazudin Murni dan Kana Lakui menegaskan bahawa perbuatan menaja aktiviti sukan menggunakan jenama atau produk merokok adalah bertentangan dengan objektif akta yang bertujuan melindungi kesihatan awam serta mencegah pengaruh negatif produk merokok.
Mahkamah dimaklumkan bahawa kesalahan tersebut tidak boleh dikompaun dan hukuman yang setimpal perlu dikenakan sebagai pengajaran serta pencegahan umum, agar peniaga lain tidak memandang ringan peruntukan undang-undang berkaitan kawalan produk merokok demi kepentingan kesihatan awam.
Oleh Adi Safarman