Pemilik premis didenda RM10,000 jual jus mengandungi racun berjadual

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LIMBANG: Seorang pemilik premis didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Limbang selepas mengaku bersalah menjual produk Jus Tuan Haji 1921 yang didapati mengandungi Dexamethasone, iaitu sejenis racun berjadual yang dilarang kehadirannya dalam makanan dan minuman.

Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Limbang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kes itu bermula susulan aduan awam yang diterima berhubung penjualan produk berkenaan.

“Susulan aduan tersebut, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan (UKKM), PKB Limbang telah menjalankan pemeriksaan di premis terbabit dan mengesahkan produk itu dijual kepada orang ramai.

“Sampel produk kemudiannya diambil mengikut Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis. Keputusan analisis mengesahkan kehadiran Dexamethasone dalam sampel minuman tersebut,” menurut kenyataan itu.

Berikutan penemuan berkenaan, pemilik premis didakwa di bawah Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 di Mahkamah Majistret Limbang.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh mengaku bersalah dan telah menjelaskan denda yang dikenakan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Dexamethasone ialah ubat daripada kumpulan kortikosteroid yang hanya boleh digunakan di bawah pengawasan pengamal perubatan.

“Kehadirannya di dalam makanan atau minuman adalah dilarang kerana boleh membahayakan kesihatan pengguna.

“Pengambilan tanpa kawalan boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti sindrom Cushing, penyakit tulang rapuh (osteoporosis), gangguan tidur (insomnia), peningkatan paras gula dalam darah, tekanan darah tinggi serta melemahkan sistem imun, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan dan komplikasi kesihatan yang serius,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, Dr Norliza Jusoh, menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi memastikan hanya makanan yang selamat dan mematuhi undang-undang berada di pasaran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika membeli produk makanan atau minuman, khususnya yang membuat dakwaan kesihatan atau menjanjikan kesan segera tanpa bukti yang sah.

“Pengguna juga disaran mendapatkan maklumat daripada sumber yang dipercayai serta membuat semakan status sesuatu produk sebelum membelinya,” katanya.

PKB Limbang turut menghargai kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan isu keselamatan makanan.

Menurutnya, setiap aduan yang diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 bagi melindungi kesihatan pengguna serta memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah selamat, bersih dan berkualiti.