KUCHING: Setakat ini terdapat 24,241 anjing berlesen di seluruh negeri.
Daripada jumlah ini, 2,104 anjing mempunyai cip mikro.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee menerusi satu kenyataan berkata, sekiranya anjing tersesat atau diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mereka akan mengimbas anjing tersebut menerusi mikrocip (jika ada) untuk mendapatkan maklumat pemiliknya dari pusat data.
Tambah Michael Tiang, mana-mana anjing yang ditemui dalam kawasan yang dijangkiti rabies (termasuk anjing berlesen yang merayau di tempat awam, dengan atau tanpa cip mikro) yang tidak di bawah kawalan, boleh dibunuh oleh mana-mana pihak yang diberi kuasa secara bertulis di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar, 1999.
“Selain itu, sebagai peringatan kepada semua orang, jika anda digigit, prosedur pertolongan cemas yang disyorkan termasuk membilas dan membasuh luka dengan segera dan menyeluruh selama sekurang-kurangnya 15 minit dengan sabun dan air, detergen, povidone iodin atau bahan lain yang membunuh virus rabies.
“Selepas itu, segera ke hospital terdekat untuk rawatan lanjut. Anda tidak boleh terlepas sebarang temu janji dengan hospital kerana ini penting untuk mengelakkan rabies atau sebarang jangkitan lain daripada berulang.
“Rawatan rabies yang ditadbir oleh hospital mesti diselesaikan oleh mana-mana orang yang dijangkiti,” katanya.
Pemilik anjing juga digesa untuk memvaksinkan anjing masing-masing bagi membantu memutuskan rantaian dan membendung virus rabies.
Tegas rantaian virus Rabies boleh di putuskan sekiranya 70 peratus populasi anjing di Sarawak sudah di vaksin.
Katanya, semua anjing perlu diberikan vaksin setahun sekali termasuk anak anjing yang berumur lebih dari 4 bulan.
“Selain memberi anjing anda vaksin, anda juga perlu melesenkan anjing anda dengan pihak berkuasa tempatan.
“Melesenkan anjing anda adalah satu perkara yang wajib di bawah Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Perlesenan dan Kawalan Anjing) 2018.
“Pemilik yang tidak melesenkan anjing mereka dengan majlis tempatan boleh didenda, tidak melebihi RM5,000 sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang tersebut,” katanya.
Katanya, pemasangan cip mikro merupakan sebahagian daripada program vaksinasi beramai-ramai, selain pelesenan dan vaksinasi yang dipegang oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Anda boleh mendapatkan maklumat berkenaan program vaksinasi beramai-ramai ini melalui laman Facebook Rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), laman Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) dan laman sesawang PBT.
Oleh SHAHRUL QAIZAT