
MINGGU ini wacana ini meneruskan perbincangan mengenai sumber dan tafsiran dalam melakukan penyelidikan dan penulisan sejarah.
Perkara tentang sumber ini telah dibicarakan sebelum ini dengan mengaitkan perlunya satu sumber yang sahih dan perlu juga semak silang untuk mengukuhkan dapatan tafsiran tersebut.
Seperti yang telah dijelaskan dalam wacana ini, kebanyakan pengguna media sosial sering menghimpunkan bahan-bahan tersebut tanpa mengambil kira kesahihannya.
Oleh itu, adalah penting untuk memahami siapa yang menulis dan menjalankan penyelidikan tersebut.
Tafsiran barat
Ini kerana latar belakang penulis itu mencerminkan tafsirannya. Sebenarnya tiada halangan untuk sesiapa sahaja menulis sejarah.
Apa yang penting kita harus bertanggungjawab dengan apa yang kita hujahkan. Bekas Perdana Britain, Winston Churchill pernah berkata ‘history is written by the victors’.
Oleh kerana itu naratifnya akan memihak kepada pihak yang menang. Era pemerintah Brooke salah satu contoh terbaik dalam memahami kata-kata Churchill ini.

Penulisan zaman Brooke cuba mengangkat dan menunjukkan bahawa James Brooke dan pewarisnya adalah pemimpin yang baik dan bertamadun.
Penulisan era beliau menggunakan pendekatan putih dan hitam. Bagi yang menyokong kerajaan Brooke, ia akan dikategorikan sebagai kumpulan yang baik.
Bagi yang menentang kerajaan Brooke pula mereka akan dikategori sebagai jahat.
Oleh itu nama seperti Sharif Masahor, Rentap, Penghulu Asun dan Datu Patinggi Abdul Ghapur disenaraihitamkan sebagai penentang. Ada kalangan mereka dikatakan sebagai menindas penduduk tempatan.
Naratif-naratif sebegitu sering diguna pakai ke atas pemimpin ini untuk menjustifikasi pemecatan terhadap Sharif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Ghapur.
Pengutipan
Oleh itu berhati-hati apabila mengutip daripada buku tulisan kolonial. Pengutipan secara terus kenyataan buku-buku era kolonial tanpa diperiksa perlu dielakkan.
Buku-buku ini telah ditulis sejak beradab lalu. Segala bentuk propaganda yang menonjolkan wira daripada kalangan orang Barat serta menggunakan pendekatan budaya dan gaya hidup Eropah untuk menilai bangsa yang dijajah dapat dikesan dalam kandungan buku-buku ini.
Buku-buku tulisan penulis awal tersebut sebenarnya perlu dianalisis semula kerana sebahagian pandangan mereka telah lama dicabar oleh para pengkaji masa kini.
Contohnya kajian dilakukan oleh L. A. Mills menyatakan Pulau Pinang dibuka oleh Francis Light. Beliau berhujah bahawa ketika itu tiada penduduk di pulau tersebut.

Pulau tersebut juga merupakan kawasan hutan. Namun kajian terkini telah memadamkan pendapat beliau kerana sebelum Francis Light sampai ke Pulau Pinang telah ada penduduk keturunan Melayu dari Sumatera di Tanjung Penaga.
Atas sebab itu, kita perlu berhati-hati dalam membuat pemilihan terhadap buku-buku yang dibaca. Tujuannya bukan untuk menolak semua pandangan yang dikemukakan, tetapi untuk meneliti hujah-hujah tersebut sama ada mempunyai asas dan rasional kukuh.
Hal ini penting kerana sebahagian karya ditulis berasaskan perspektif Barat, yang kadangkala menafikan peranan serta kepentingan masyarakat tempatan, khususnya dalam konteks penulisan semasa zaman kolonial.
Persoalan orang Melayu misalnya tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah pada era penjajahan British di Tanah Melayu sering dikaitkan dengan kekuatiran masyarakat Melayu terhadap agama Kristian.
Hal ini membawa tuduhan orang Melayu tidak mahu menerima pendidikan Barat.
Apa sebenarnya berlaku adalah kebanyakan sekolah dibina di bandar dan kebanyakan orang Melayu tinggal di pinggir dan luar bandar.

Hendak menghantar anaknya ke sekolah merupakan satu persoalan besar kerana jaraknya jauh dan bahaya ditempohi oleh anak-anak mereka juga diambil kira orang ibubapa mereka.
Pandangan
Atas sebab itu sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, isu penulisan koloni ini mula disemak semula. Ini kerana penulisan mereka lebih kepada Sentrik Barat yang melihat orang Asia sebagai tidak bertamadun.
Atas sebab itu, label-label lanun digunakan oleh mereka untuk memburuk kepada kumpulan-kumpulan tertentu yang menganggu perdagangan mereka.
James Brooke sering menggunakan naratif ini untuk mendapat sokongan kerajaan British. Namun selepas Pertempuran Benting Maru, sokongan terhadap beliau oleh tentera laut British mula pudar kerana tindakannya dianggap melakukan pembunuhan ke atas penduduk tempatan.
Sarawak bukan satu-satunya tempat dimana penjajahan Barat menukilkan keburukan bangsa Asia. Malah tindakan mereka ini juga digunakan untuk justifikasi perang seperti dalam Perang Arrow (1856 – 1860) di China.
British menggunakan pelbagai alasan untuk memulakan perang dengan China sedangkan ia bukannya sebab yang kuat.
Sentrik
Atas sebab itu kebanyakan negara Asia mula menyusun semula sejarah negara mereka. Sarjarawan Indonesia Sartono Kartodirdjo misalnya menganjurkan penyusunan historiografi moden Indonesia sebaiknya menggunakan corak Indonesia sentisme, yang lebih menekankan peranan bangsa Indonesia sebagai pelaku utama dalam perjalanan sejarahnya.
Hal ini perlu diterapkan untuk menggantikan corak sentrik Barat yang telah lama berakar, dan cenderung menempatkan peranan orang Eropah sebagai pelaku utama dalam sejarah Indonesia.
Pendapat ini dikongsi bersama oleh sejarawan Filipina iaitu Teodoro Agoncillo. Beliau berkata bahawa selama ini sejarah Filipina ditulis oleh penjajah Sepanyol dan Amerika Syarikat.
Oleh yang demikian, penulisan semula sejarah wajar dilakukan bagi menonjolkan peranan penduduk tempatan sebagai pelaku utama dalam pembentukan sejarah negara mereka.
Kenyataan kedua-dua sejarawan tersebut memperlihatkan keperluan untuk bersikap berhati-hati sebagai penulis agar tidak terpengaruh dengan jajaran pemikiran kolonial.
Dalam usaha menulis dan menilai sejarah, para penulis serta peminat sejarah harus sentiasa berwaspada ketika merumuskan sesuatu kesimpulan.
Setiap aspek dan sumber yang digunakan perlu diteliti dengan cermat supaya kajian yang dihasilkan benar-benar berwibawa dan tidak bersifat separuh masak.
Mungkin niat kita baik dalam meluluskan sesuatu karya sejarah, namun kita perlu berhati-hati agar tidak dilabel sebagai pseudohistorian.
Keadaan sedemikian amat membimbangkan kerana boleh menjejaskan integriti proses penilaian sejarah itu sendiri.
Malah, ia berpotensi memesongkan tafsiran sejarah daripada landasan asalnya dan menjejaskan keobjektifan dalam penulisan sejarah yang sahih.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, FakultiSains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).