SIMANGGANG: Pemilihan Sri Aman sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak tahun ini adalah tepat pada waktunya, kata Ketua Masyarakat Cina Sri Aman, Temenggong Kueh Aik Seng.
Ini kerana penganjuran sambutan hari bersejarah itu, katanya, begitu bermakna apabila Sri Aman khususnya Bandar Simanggang yang mengalami perubahan ketara dari segi pembangunan.
“Misalnya, Projek Taman Tebingan Sungai Batang Lupar bernilai RM12 juta yang selesai dilaksanakan oleh kerajaan pada 2022 lepas secara tidak langsung telah pun memberi imej baharu terhadap Bandar Benak (Simanggang) ini.
“Ia tidak termasuk projek pembinaan Jambatan Batang Lupar I dan II yang sedang berlangsung sekarang dan sekali gus menjadikan Simanggang sebagai bandar yang semakin strategik serta menarik apabila ia sudah selesai dibina nanti,” kata beliau.
Kueh berpendapat bahawa perkembangan ini perlu ditonjol kepada orang luar agar mereka sedar bahawa Sri Aman khususnya Simanggang berpotensi untuk dikunjungi dan dijadikan sebagai lokasi pelaburan pada masa akan datang.
“Perubahan besar yang berlaku di Sri Aman ini adalah hasil kesinambungan pelaksanaan dasar politik pembangunan era pimpinan lalu dan juga komitmen dalam kalangan pemimpin kita (Sarawak) pada masa sekarang.
“Selain itu, hasil keamanan yang dikecapi selepas Deklarasi Sri Aman pada 1973 juga membolehkan Simanggang mencapai keamanan selama 51 tahun dan terus maju ke hadapan seperti yang kita saksikan pada hari ini,” katanya.
Beliau ketika terus ditanya mengenai perkara ini berharap bahawa dengan terpilihnya Sri Aman sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia peringkat Sarawak 2024 maka lebih banyak projek pembangunan dibawa masuk ke sini pada masaa akan datang.
“Sesuai dengan tema sambutan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, maka diharap agar banyak kemudahan baharu dapat dibina dan dinaik taraf di Sri Aman bagi mengubah wajah pembangunan Sri Aman,” katanya.
Kueh juga berharap agar seluruh rakyat khususnya di Sri Aman untuk mendukung enam teras utama dalam konsep Madani untuk membebaskan jiwa mereka daripada elemen negatif dan menyemai semangat patriotisme dalam diri masing-masing.
“Saya berharap seluruh rakyat dapat menonjolkan sikap cintakan negara melalui aspek pemikiran, integrasi sosial serta ekonomi dan seterusnya membentuk satu kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” katanya.
Oleh Valentine Ngumbang