
PADA hujung minggu ini akan diadakan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.
Perhimpunan ini berlangsung mulai Jumaat hingga Ahad ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan akan melibatkan lebih 3,200 perwakilan dan pemerhati dari pelbagai sayap parti seperti Wanita, Pemuda dan buat pertama kalinya, belia berumur 18 hingga 28 tahun.
Terdapat beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian dalam perhimpunan kali ini.
STATUS QUO
PBB mempunyai budaya politik walak, setia dan taat berjemaah kepada pimpinan parti dan situasi ini penting bagi mengelak ancaman pengaruh luar daripada meresapi ideologi parti.
Kesannya, dogmatik ini berjaya membentuk PBB paling bersetia, taat dan teguh ampuh dan disegani lawan dan kawan politik hingga kini.
Berdasarkan sentimen ketaatan ini, maka semua 82 cawangan PBB telah mengusulkan agar jawatan tertinggi parti, termasuk Presiden, dua Timbalan Presiden dan dua Naib Presiden Kanan, tidak dipertandingkan dalam pemilihan kali ini.
Aspek ini menunjukkan budaya walak dan taat berjemaah adalah bahagian daripada keinginan untuk mengekalkan kestabilan dan perpaduan dalam kepemimpinan tertinggi parti.
KESTABILAN POLITIK
Keputusan untuk tidak mempertandingkan jawatan-jawatan tertinggi ini mencerminkan pendekatan PBB yang mengutamakan kestabilan politik dan kesinambungan kepimpinan.
Namun, ia juga menimbulkan persoalan mengenai peluang untuk pembaharuan dan penyertaan kepimpinan baharu dalam struktur tertinggi parti.
Walaupun pendekatan ini dapat memastikan perpaduan, daripada satu segi boleh menghalang proses demokrasi dalaman yang sihat dan penyegaran kepimpinan dari segi jangka panjang parti.
Namun ini bukanlah situasi terpencil kerana parti seperti UMNO, PKR, BERSATU, malah PAS juga mengambil pendekatan seumpama ini.
Apapun, PBB sebagai parti tulang belakang GPS ialah parti dominan dalam politik Sarawak, memainkan peranan penting dalam menentukan arah tuju politik dan masa depan pembangunan negeri.
Oleh itu, proses pemilihan kepimpinan di peringkat akar umbi adalah penting untuk memastikan disiplin ahli dan perpaduan dalam melaksanakan tanggungjawab di bawah perlembagaan parti serta kehendak Pendaftar Pertubuhan (ROS).
PEMILIHAN DAN KENAIKAN
Berdasarkan analisis ‘fuzzy’ dijangka Timbalan Ketua Wanita baharu ialah Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dijangka menggantikan Datuk Sri Rohani Abdul Karim.
Langkah ini sesuai dengan usaha peremajaan parti, iaitu golongan pemimpin pelapis mulai mengambil alih peranan dan kedudukan pemimpin yang sudah lama di tampuk kedudukan. Namun proses ini dilakukan secara berevolusi.
Begitu juga Ketua Pemuda PBB, juga dijangka akan berlaku perubahan tampuk kepimpinan.
Martin Ben, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah dijangka akan menggantikan Miro Simuh.
Di sini kita dapat lihat peranan jawatan dipegang dalam kerajaan dapat membantu menguatkan akar umbi dengan lebih meluas.
PEMILIHAN NAIB PRESIDEN
Pertandingan Naib Presiden sayap Bumiputera dijangka akan berlaku. Penyandang Naib Presiden Bumiputera kini dipegang oleh dua menteri penuh dan dua timbalan menteri, iaitu Dato Sri Julaihi Narawi, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Sebelum ini jawatan tersebut tidak dipertandingkan dalam konvensyen parti pada 2022. Nama calon dijangka bertanding dalam analisis ‘fuzzy’ ialah Datuk Ibrahim Baki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok dan Timbalan Setiausaha Agung PBB, serta Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang.
Logik atau analisi ‘fuzzy’ ialah mengukur kebarangkalian berdasarkan skala tertentu dan tidak mutlak yang dinilai aspek meliputi pengaruh dalam parti (P), jawatan dalam kerajaan (J), sokongan dari pimpinan tertinggi (S), keterlibatan dalam politik dalaman (K) dan sokongan akar umbi (A).
CALON BAHARU
Ibrahim Baki mewakili kawasan yang pernah diwakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang mungkin memberikan kelebihan dari segi mesej politik terutama aspek sokongan politik dan pengaruh.
Ibrahim, lulusan undang-undang dan juga orang korporat diyakini dapat mengukuhkan kedudukan parti.
Peranan Ibrahim sebagai Timbalan Setiausaha Agung PBB menunjukkan kepercayaan parti terhadap kepimpinannya dan kefahamannya mengenai struktur dalaman parti.
Dalam kempen parti sudah pasti manifesto kempen akan terpancar melalui idea dan inisiatif baharu perlu diserlahkan dalam kempen pemilihan ini dalam masa terdekat untuk melonjakkan sokongan kalangan pemilih.
Len Talif pula bekas teknokrat dan berpengalaman sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar perlu meyakinkan perwakilan bahawa pengalamannya di peringkat kerajaan dapat diterjemahkan kepada peranan yang lebih strategik dalam parti.
Len mempunyai pengaruh dan undi di kawasan pesisir yang penting dalam konteks politik negeri.
KEKUATAN PENYANDANG
Keempat-empat penyandang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri di peringkat negeri, menunjukkan profil kepimpinan yang tinggi.
Mereka sudah dikenali secara lebih meluas dalam kalangan perwakilan.
Cuma pada akhir kempen, kemenangan akan ditentukan oleh sejauh mana mereka menggunakan kelebihan yang ada pada mereka untuk menarik undi perwakilan dan ini bergantung kepada juru kempen politik yang lazimnya berpengaruh dan dihormati dalam parti bagi membantu menarik undi perwakilan.
Faktor politik personaliti juga mempunyai peranan penting yang menentukan populariti mereka.
Dalam pemilihan parti politik, lazimnya mempunyai ‘cai’ yang bermaksud team atau kumpulan yang dibentuk dalam pemilihan parti.
Ada yang membentuk ‘cai’ yang boleh terdiri daripada calon naib presiden dan ahli majlis tertinggi yang juga dijangka dipertandingkan.
Semakin kuat ‘cai’, semakin kuat peluang untuk menang besar. Dalam pemilihan parti politik, sifat ‘cai’ ialah sementara, sesuai dengan falsafah politik klasik iaitu “tiada kawan dan musuh yang kekal melainkan kepentingan”.
Maknanya, dalam pemilihan ini bergerak sebagai satu kumpulan, namun pada masa akan datang boleh berubah senarai, sesuai dengan kepentingan.
Ini pernah berlaku dalam UMNO hingga berlaku Tim A Vs Tim B (era Tengku Razaleigh/Mahathir), order lama Vs order baru (zaman era Tunku Rahman), Tim Wawasan (era Najib, Anwar, Muhiyiddin).
ELAK POLITIK WANG
Amalan politik wang ialah politik tidak sihat kerana bagi mereka yang menggunakan wang sokongan adalah bersifat tidak tulen, sementara dan membawa wabak negatif.
Bagi kelompok ini yang penting ialah siapa dapat apa dan bagaimana hendak menang. Wang sepatutnya digunakan untuk mengembangkan perniagaan misalnya, digunakan untuk politik wang dan apabila kalah bermakna perniagaan juga akan malap.
Bagi yang menang dengan politik wang pula, bermakna terpaksa mencari wang besar untuk menampung kehabisan wang ketika kempen menggunakan politik wang dan ini boleh membawa kepada isu korupsi.
Namun PBB terkenal sebagai sebuah parti politik yang berdisiplin, kod etika dan budaya politik yang belum diresapi semangat materialisme perlu mempertahankan budaya murni ini, iaitu tidak mengamalkan politik wang yang boleh memberikan kesan buruk berpanjangan kepada individu, parti, masyarakat dan negeri Sarawak.
Maka pemilihan parti perlu berlangsung secara demokrasi yang sihat dan berintegriti. Budaya politik yang sihat dan kepimpinan ulung sebagai mana diserlahkan oleh Abang Johari perlu dijadikan teladan akan menjadi rakyat Sarawak menjadi lebih maju makmur dan sejahtera.
Apapun, pemilihan ini perlu dilihat lebih kepada perlawanan mesra persahabatan secara dalaman PBB.
Kestabilan parti penting bagi memastikan dasar-dasar yang ada terus dilaksanakan tanpa sebarang hambatan.
Sebab itu, dalam pemilihan ini melibatkan segmen tidak menyeluruh kerana keseimbangan kuasa yang ada tetap dipertahankan dan pemilihan yang ada lebih kepada pengukuhan struktur sedia ada dan secara berevolusi.
Demikian budaya politik PBB bagi memastikan kesepaduan dan keharmonian parti terus berlangsung.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).