

CERPEN ‘Dusun’ karya Norlida Annuar yang bertemakan pertanian dalam ruangan WBS pada minggu lalu memaparkan pemikiran yang munasabah dan apresiatif. Tahniah.
Cerita ‘Dusun’ mengisahkan Husna yang bermasalah dengan Mak Cik Siah kerana tanaman di dusun mereka, ternyata menarik dan sesuai dipaparkan dalam media massa sebagai bahan bacaan santai dan umum. Elemen ceritanya sebagai sebuah karya sastera hampir lengkap.
Sedikit perekayasaan akan memperkasa penampilannya sebagai karya media cetak (digital juga) yang berbaloi dibaca.
Memanglah tema pertanian sudah klise. Hampir semua penulis cerpen pernah menulis karya berlatarbelakangkan masyarakat desa, tani, kebun, dusun dan seumpamanya, yang berwajah tradisional, kehidupan kampung yang dimurnikan oleh adat resam dan suasana sopan-santun yang memukau. Alhamdulillah.
Walaupun klise dengan penampilan elemen desa dan dusunnya sudah sekian lama, sejak cerpen tahun 1930-an lagi, tetapi fenomena cerita dan konflik yang dipaparkannya sangat signifikan – malar hijau.
Fenomena seperti ini akan sentiasa wujud dalam masyarakat. Hanya bezanya daripada karya yang lain ialah cara pengarang menyelesaikan masalah yang diwujudkannya antara watak yang berkonflik dalam latar kampung yang indah harmoni.
Cerpen Dusun mengisahkan watak Husna yang berkonflik dengan Mak Cik Siah yang sembrono sahaja mengambil jantung pisang dari dusun keluarganya.
Tanpa malu segan lagi, Mak Cik Siah boleh bercerita kepada orang bahawa dia mengambil jantung pisang dari dusun sendiri, dusun keluarga.
Permasalahan wujud di sini mungkin kerana Mak Cik Siah beranggapan bahawa dusun itu ialah dusun pusaka, milik bersama. Cara berfikir begini disebut generalised thinking – asal sahaja tanaman itu terdapat di dusun keluarga, maka hasilnya bolehlah dipanen bersama. Namun dusun yang dimaksudkan sudah menjadi milik ibu kepada Masnah melalui geran tanah yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei.
Pengarang mengambil jalan penyelesaian konflik yang sangat harmoni dalam cerpen ini, iaitu Siah disedarkan akan hak milik tanaman di dusun itu dan apabila kembali ke dusun untuk mengambil jantung pisang, dia bertindak sebagai pembeli. Dia memang membayar jantung pisang yang dipanennya di dusun keluarga Masnah.
Husna bersama-sama ayah dan ibunya yang sengaja hendak bertemu Mak Cik Siah di dusun itu pula merelakan Mak Cik Siah mengambil jantung pisang yang sudah diletakkan di dalam bakulnya tanpa membayarnya.
Akhiran cerita seperti ini dirujuk sebagai happy ending. Baguskah akhiran cerita yang sangat harmoni begitu? Madani sebenarnya.
Seharusnya demikianlah, perkara kecil, permasalahan yang berlingkar dalam kalangan sesama ahli keluarga, sebaik-baiknya diakhiri secara madani begitu.
Begitulah murninya lojik sosial dalam pemikiran insan.
Di sebalik keharmonian kisah itu pula, dengan pencuri tidak berdepan dengan undang-undang yang berkaitan dengan pihak berkuasa, seolah-olah menggalakkan perkara negatif demikian wujud atau berleluasa dalam sistem sosial.
Dengan itu, akhiran cerpen ini dapat dibahaskan dari beberapa sudut pandangan dan dimensi pemikiran. Yang pasti, fenomena seperti ini tetap ada di mana-mana sahaja. Yang berbeza ialah kesudahannya.
Pemikiran
Pemikiran dalam karya sastera merujuk kepada idea utama, pandangan hidup, atau falsafah yang ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca melalui karya tersebut. Elemen pemikiran ini boleh hadir secara tersurat (jelas) atau tersirat (terselindung dalam cerita, watak, atau peristiwa).
Dalam definisi ini, Norlida Annuar tampak cenderung untuk menonjolkan paradigma kehidupan sekampung, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat yang ada pertalian keluarga hendaklah bersikap terbuka melalui komunikasi mantap dan telus agar tidak timbul salah sangka.
Perkara ini diperlihatkan melalui hubungan antara Husna dan Mak Cik Siah. Mak Cik Siah digambarkan secara sambalewa sahaja mengaku tanaman di dusun keluarga Husna ialah miliknya juga dan dengan selamba mempanen jantung pisang di dusun itu, tanpa kebenaran dan dalam jumlah yang besar sehingga cukup untuk dijadikan hidangan dalam kenduri kahwin.
Dari segi undang-undang, tindakan Mak Cik Siah memang mempunyai ciri-ciri kebolehdakwaan di mahkamah. Dia mencuri (mempanen tanpa kebenaran). Tindakan itu salah. Dari perspektif sosial pula, dengan sesuka hati memanen hasil tanaman di kebun orang, sangat tidak beradab.
Masnah pula tidak bertindak mengikut undang-undang walaupun dia patut dan dapat berbuat demikian. Keluarganya mempunyai pertimbangan sosial yang sangat baik, bertimbang rasa, rasional dengan mendekati dan berkomunikasi dengan Mak Cik Siah sehingga akhirnya Mak Cik Siah bertindak membayar harga jantung pisang yang diambilnya (kemudian) kerana sedar bahawa jantung pisang itu bukan hak dan milik dia.
Struktural Cerpen
Aspek struktural cerpen merujuk kepada kerangka atau susunan elemen-elemen penting yang membentuk keseluruhan cerita. Elemen struktural ini membantu penciptaan kesinambungan dan kesan cerita yang mendalam kepada pembaca.
Aspek Struktural Cerpen:
Permulaan (Pengenalan)
Memperkenalkan watak utama, latar tempat, masa, dan suasana cerita.
Kadang-kadang dimulakan dengan konflik kecil untuk menarik minat pembaca.
Cerpen “Dusun” mempunyai permulaan cerita yang berdaya tarikan. Hal ini penting bagi sesebuah karya prosa kerana pembaca yang mula membacanya akan terdorong untuk membaca sehingga ke akhir cerita.
Tahniah.
Perkembangan
Konflik atau masalah mula dibina dan dikembangkan. Watak berdepan cabaran atau perubahan dalam hidup.
Aspek ini lazimnya menatang atau menyuguhkan kekuatan prosa yang dikarya. Konflik antara Masnah dan Mak Cik Siah sudah ada, namun agak terlalu mudah dan klise.
Ada baiknya jika penulis menggagahkan konflik ini melalui alat pemikiran APC yang disyorkan oleh Edward de Bono melalui CoRTs, iaitu mencari alternatif, kemungkinan (possibilities) dan pilihan (choice).
Misalnya berikan konflik tambahan kepada salah sangka pemilikan hasil dusun itu melalui ingatan akan pesan datuk mereka dulu. Mak Cik Siah menuduh keluarga Masnah sebagai curang, tidak mengenang budi datuk nenek mereka. Selanjutnya masukkan elemen agama – dari segi halal haram.
Pertimbangkan juga PMI (aspek positif, negatif dan menarik) pada alternatif yang dicadangkan itu. Misalnya jika Mak Cik Siah sengaja menuduh keluarga Masnah yang lupa daratan, patutkah? Apa baiknya? Apa negatifnya? Apa menariknya? Atau cipta sahaja sesuatu elemen yang lebih menarik seperti hasil dusun itu dijual kepada peraih yang konsisten sehingga keluarga Masnah tidak ada kesempatan untuk memanen hasilnya. Hasil panen yang konsisten itu membolehkan Mak Cik Siah membeli motorsikal sekenhen.
Lakukan juga deep thinking terhadap isu yang diangkat sebagai konflik, misalnya, antara perkara yang patut dan tak patut, kemunasabahan isu yang diangkat dan dari segi budaya sosial masyarakat yang diwakili oleh watak. Sebagai pembaca, kemelut antara watak ini menjadi harapan dan kemudian puncak cerita yang selalunya menyuguhkan pemikiran pengarang untuk menyelesaikan masalah dan meredakan konflik.
Klimaks (Kemuncak)
Titik paling tegang atau mendebarkan dalam cerita.
Konflik sampai ke tahap tertinggi; pembaca ternanti-nanti akan penyelesaiannya.
Dua perkara dalam klimaks ini memberi kepuasan kognitif (ada juga penganalisis sastera menyatakannya sebagai kepuasan intelektual) kepada pembaca. Hal ini demikian kerana pembaca yang komprehen ketika membaca (yang faham akan pembacaannya) akan berfikir sepanjang pembacaannya.
Penerimaan lojik akal pembaca yang berharmoni dengan gagasan yang diutarakan penulis lazimnya akan meninggalkan keluasan dan rasa suka yang mendalam terhadap karya (kadang-kadang menyebabkan pembaca meminati pengarang juga).
Peleraian (Penurunan Konflik)
Konflik mula diselesaikan.
Watak mencapai penyelesaian atau perubahan penting berlaku.
Masnah memang tampak mencapai hasratnya dalam akhiran cerpen
‘Dusun’ ini.
Dia berjaya menyebabkan Mak Cik Siah membayar jantung pisang yang dipanennya di dusun itu. Peleraian yang harmoni begini boleh memuaskan naluri harmoni pembaca, sesuai dengan pemikiran pengarang. Beberapa baris akhiran cerpen ini terasa sangat menyenangkan:
“Berapa harga semua ni?”
“Husna bagi je makcik.” Kata Husna sambil tersenyum.
“Terima kasihlah Husna. Makcik nak balik ni.” Ujar Siah sambil memasukkan parang ke dalam sarung.
“Husna pun nak balik ni.”
Mereka berjalan beriringan sambil Husna memanggil ayah dan mak mengajak mereka pulang.
Pengakhiran (Resolusi)
Penutup cerita; boleh bersifat terbuka atau tertutup. Menunjukkan kesan daripada peristiwa atau keputusan watak.
Penulis memilih untuk menyelesaikan semua masalah yang wujud antara Masnah dan Mak Cik Siah. Alhamdulillah, penulis tidak membiarkan pembaca tertanya-tanya dan terbayang-bayang akan akhirannya.
Namun ada penganalisis prosa berpendapat pembaca patut dibiarkan berfikir sendiri – dan akhiran prosa yang selalu dicontohkan untuk perkara ini ialah kesudahan Siti Salina apabila dia menyeberangi Tambak Johor, meninggalkan Kampung Kambing di Singapura, menuju ke Kelantan; dalam novel A Samad Said yang sangat popular, Salina. Apakah yang terjadi seterusnya? Terpulang kepada pembacalah memikirkannya.
Hal ini tidak sama dengan novel Saga. Novel Saga, juga seperti Salina, menggantung akhirannya, seolah-olah akan nada sambungan Saga II dan seterusnya Saga III. Memang benar, beberapa tahun kemudian muncul Saga II dan Saga III.
Elemen Sokongan dalam Struktur
Elemen-elemen sokongan dalam struktur binaan cerpen Dusun ini tampak lengkap dan memadai.
Watak dan Perwatakan – Individu dalam cerita dan sifat-sifat mereka dalam cerpen ‘Dusun’ memadai untuk sebuah karya prosa pendek. Namun rincian aspek ini akan menambah estetika cerpen ini.
Latar – Tempat, masa dan suasana cerita berlaku. Aspek ini perlu dirincikan, walaupun pembaca dapat membayangkannya tetapi sangatlah baik jika letak dusun itu diberi nama. Kejadian peristiwa juga perlu diserlahkan aspek masanya. Namun suasana peristiwa yang terjadi, sudah harmoni.
Plot – Urutan peristiwa dari permulaan hingga akhir tampak berjalan dengan lancar. Alhamdulillah. Tahniah. Sasterawan Sarawak yang gemar mencipta karya meniti plot yang harmoni dan sentosa begini ialah saudara Jong Chian Lai. Jika anda mempunyai kelapangan, bacalah cerpen pengarang hebat ini.
Tema – Idea atau mesej utama cerita sesuai dan mampu membangunkan sastera dengan syarat perekayasaan estetikanya dilaksanakan dengan sungguh-sungguh.
Teknik Penceritaan – Contohnya imbas kembali, monolog dalaman, dialog dan sudut pandangan. Dalam hal ini, pengarang cerpen “Dusun” kelihatan mempunyai kesengajaan dan kesedaran yang tinggi. Alhamdulillah, anda ada kemahiran berkarya.
Estetika Bahasa
Estetika bahasa dalam cerpen merujuk kepada keindahan penggunaan bahasa (kreatif pada gaya, baku pada tatabahasa) oleh penulis untuk menarik perhatian pembaca dan menyampaikan makna dengan lebih mendalam dan berkesan.
Estetika bahasa mencerminkan gaya penulisan yang kreatif dan bernilai seni. Kesukaan pembaca lazimnya terletak pada estetika ini dan estetika bahasalah yang lazimnya memukau pembaca atau penilai karya.
Unsur Estetika Bahasa dalam Cerpen yang perlu difikirkan dan digarap (malah jika dapat, dibanyakkan dan teruslah menjadikannya gaya bercerita) andai cerpen ini hendak direkayasa ialah:
Gaya Bahasa Kiasan / Figuratif
Metafora: “Dia ialah mentari hidupku.”
Simile (Perumpamaan): “Mukanya merah seperti cili.”
Personifikasi: “Angin malam berbisik di telinganya.”
Simbolisme
Menggunakan objek atau peristiwa sebagai lambang, contohnya burung sebagai lambang kebebasan.
Irama dan Irama Dalaman
Pengulangan bunyi, perkataan atau frasa untuk mencipta kesan emosi, contohnya dalam ayat yang berbunyi puitis. Aspek ini ialah kemahiran yang unik yang dapat (perlu) dipupuk oleh penulis.
Penggunaan Dialek atau Bahasa Tempatan
Memberi warna budaya dan memperkaya nilai tempatan dalam cerita. Perkara ini boleh memperkaya cerpen tetapi hendaklah dilakukan secara berhati-hati.
Imajan (Imagery)
Bahasa yang mencipta gambaran visual, bunyi, rasa, bau dan sentuhan untuk pembaca. Aspek ini akan menambah nilai estetika bahasa dalam karya.
Kejutan Bahasa
Penggunaan ayat atau frasa yang tidak dijangka, mencetuskan kesan dramatik atau emosi yang mendalam. Aspek ini sebenarnya unik dan menjadi unsur penguat prosa.
Dalam puisi, Zaen Kasturi menamainya sebagai pancung atau pancungan. Pancungan inilah lazimnya yang memukau pembaca kerana ‘bahasa’ yang digunakan lazimnya ialah bahasa pukau atau hypnotic language – maka pembaca akan terpukau membacanya.
Estetika bahasa menjadikan cerpen bukan hanya sebagai penghantar cerita, tetapi juga satu karya seni. Oleh sebab cerpen ialah karya seni sastera, maka estetika bahasa hendaklah ditekuni sebagai elemen karya yang utama.
Kesimpulan
Umumnya, cerpen ‘Dusun’ ialah karya sastera yang lahir lengkap sempurna. Apabila diukur pada karya cerpen yang bernilai sastera, analogi yang dapat saya berikan kali ini ialah bandingan antara bayi yang lengkap sempurna sifatnya yang baru bertatih-tatih dengan seorang model yang melakukan catwalk.
Bayi yang lengkap sempurna sifatnya yang baru bertatih-tatih sangat memukau orang dewasa, lazimnya dia akan menjadi tumpuan perhatian.
Seorang model yang melakukan catwalk juga menawan, menarik dan menjadi tumpuan penyaksinya.Apabila kita menghantar cerpen kepada editor media massa, kita hendak menghantar cerpen bayi bertatih-tatih atau cerpen model melakukan catwalk?
Teruslah menulis, cari dan tekuni karya cerpen anda sehingga berjaya.
Oleh Jais Sahok