
BANGKOK, Thailand: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di sini untuk menghadiri Kongres & Pameran Air dan Pembangunan IWA 2025 (WDCE 2025).
Beliau yang diiringi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang sekitar 12.29 tengah hari tadi waktu tempatan.
Menyambut ketibaan Abang Johari di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang ialah Menteri bahagian politik Kedutaan Malaysia di Bangkok, Thailand Ahmad Hashim Mahmood dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Datu Jafri Lias.
Ketibaannya di hotel penginapan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta delegasi kerajaan negeri yang lain.
Abang Johari dijadual menyampaikan ucaptama pleno ‘Air: Pemacu Masa Depan Sarawak Yang Berdaya Tahan dan Mampan’ pada keesokan hari bertempat di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit, di sini.
Selain beliau, beberapa pakar dan penyelidik dari pelbagai negara turut menyampaikan ucaptama yang memfokuskan kepada penyelesaian air bersih, sanitasi dan inovasi.
WDCE 2025 berlangsung hari ini hingga Jumaat ini merupakan acara global yang memberi tumpuan kepada isu air dan pembangunan di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Acara ini akan menghubungkan pakar, utiliti dan penyelidik untuk berkongsi pengetahuan, memupuk kerjasama dan mempamerkan penyelesaian untuk cabaran air dan sanitasi.
Bertemakan ‘Air, Sanitasi Dan Inovasi – Laluan Menuju Kemajuan Dan Masa Depan Berdaya Tahan’, edisi 2025 akan membentangkan penyelesaian yang merangkumi perkhidmatan air dan sanitasi, peranan air di kawasan bandar, hubungan antara bandar dan lembangan dan peluang untuk mencapai daya tahan iklim.
Ia menampilkan ucapan dasar oleh tokoh-tokoh sektor terkemuka yang dijemput khas untuk berkongsi pengalaman mereka dalam membentuk dan menyampaikan penyelesaian.
Program ini juga akan menyediakan platform unik untuk profesional air membentangkan dan berkongsi penemuan dan pandangan terkini mereka.
Sementara itu, Abang Johari akan meneruskan lawatan kerjanya ke China pada hari Rabu hingga Sabtu ini. – UKAS