JAKARTA: Pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) antara ASEAN, Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand menjadi detik bersejarah kepada blok itu, kata Setiausaha Agung ASEAN Lim Jock Hoi.
Beliau berkata ia sekali gus “mendukung peranan ASEAN dalam memimpin perjanjian perdagangan yang penting, walaupun usaha ke arah itu berdepan pelbagai cabaran global dan serantau serta melalui rundingan selama lapan tahun,” lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
“RCEP akan menjadi pendorong utama yang diperlukan bagi pemulihan yang cepat dan kukuh untuk perniagaan dan masyarakat di rantau kita terutama semasa krisis pandemik Covid-19 ketika ini,” tambah pegawai itu.
RCEP adalah pakatan perdagangan bebas terbesar ASEAN setakat ini, pasaran yang merangkumi 2.2 bilion penduduk dengan ukuran gabungan AS$26.2 trilion atau 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.
Kesepakatan itu, akan meningkatkan akses pasaran dengan tarif dan kuota dihapuskan ke atas lebih 65 peratus barang yang diperdagangkan.
Perjanjian itu juga akan mendorong syarikat-syarikat untuk melabur lebih banyak di rantau ini, termasuk membina rantaian bekalan dan perkhidmatan selain mewujudkan pekerjaan.
Rundingan RCEP, dimulakan pada 2013, dipimpin oleh Iman Pambagyo, Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Indonesia, dan disokong oleh Sekretariat ASEAN.
Majlis menandatanganinya diadakan secara maya pada Sidang Kemuncak RCEP keempat pada Ahad, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang dihoskan Vietnam.- Bernama