

SARATOK: Suasana hiba menyelubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok berikutan pemergian salah seorang anggota berdedikasi, Sarjan Salina Samion dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang menghembuskan nafas terakhir petang tadi.
Allahyarhamah, 52, dilaporkan meninggal dunia pada 2:46 petang di hospital selepas dimasukkan ke wad sejak Isnin lalu akibat beberapa komplikasi kesihatan. Difahamkan, beliau mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi serta masalah jantung yang memerlukan rawatan rapi.
Jenazah telah dibawa ke Masjid Al-Mutaddin, Saratok bagi urusan penghormatan terakhir sebelum disempurnakan mengikut tuntutan agama.
Upacara pengebumian berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Saratok pada 6:30 petang dengan kehadiran ahli keluarga, rakan setugas serta masyarakat setempat.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengetuai rombongan warga IPD Saratok untuk hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Kehadiran beliau pada 5:40 petang itu memperlihatkan keprihatinan kepimpinan polis dalam menyantuni kebajikan anggota dan keluarga mereka.
“Pemergian Sarjan Salina merupakan satu kehilangan besar buat pasukan kami. Beliau seorang anggota yang komited dan banyak menyumbang kepada kejayaan siasatan jenayah di daerah ini,” kata DSP Mathew selepas majlis pengebumian.
Menurutnya, kehadiran pihak pengurusan IPD Saratok bukan sekadar memenuhi protokol rasmi, malah sebagai tanda sokongan moral kepada waris arwah.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat setiakawan dalam pasukan PDRM akan terus diperkukuh dalam menghadapi situasi seumpama itu. Pada majlis tersebut, DSP Mathew turut menyampaikan sumbangan derma ikhlas hasil kutipan warga IPD Saratok kepada keluarga Allahyarhamah.
Inisiatif kebajikan itu merupakan penghargaan atas segala jasa dan khidmat cemerlang yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan arwah.
Allahyarhamah Sarjan Salina Samion telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia selama lebih dua dekad dan dikenali sebagai seorang anggota berintegriti tinggi. Pemergiannya meninggalkan kenangan mendalam serta legasi perkhidmatan yang akan terus dikenang oleh seluruh warga IPD Saratok.
Oleh Adi Safarman