
KUCHING: Sarawak hari ini kehilangan seorang figura yang amat dihormati apabila isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada seluruh rakyat negeri ini.
“Beliau seorang yang bersikap sederhana, mudah didekati dan sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
“Sebagai isteri kepada Premier, beliau bukan sahaja menjadi pendamping setia malah turut memainkan peranan penting dalam menyantuni rakyat di pelbagai lapisan. Pemergiannya tentu sekali dirasai ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Cabutan Undi Tawaran Pelaksanaan Kerja Penyenggaraan Jalan Persekutuan Inisiatif Bajet 2025 bagi Kontraktor Kecil Bumiputera G1 hingga G4 yang diadakan di sini hari ini.
Difahamkan, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada 3.34 pagi di Pusat Pakar Perubatan Normah.
Menurut kenyataan rasmi daripada Pejabat Premier Sarawak, majlis penghormatan terakhir telah diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, Kuching dari 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, sebelum jenazah Allahyarhamah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya.
Amanda L.