
SIBU: Usaha memelihara bahasa dan identiti masyarakat Melanau perlu diperkukuh dengan penglibatan aktif generasi muda bagi memastikan warisan itu tidak pupus ditelan zaman.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, antara langkah signifikan ialah melalui dokumentasi bahasa termasuk pembangunan kamus yang telah didigitalkan untuk memudahkan akses kepada generasi baharu.
Menurut beliau, inisiatif tersebut mampu merapatkan jurang perbezaan bahasa serta meningkatkan kefahaman dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda yang semakin kurang fasih bertutur dalam bahasa asal.
“Usaha ini penting supaya jurang perbezaan dari segi bahasa dan percakapan dapat dikurangkan dan dapat difahami, terutama sekali untuk generasi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berlanggar Meja anjuran Persatuan Melanau Sibu (PMS) di Larizwa Riz’s Grand Hall, Sibu, hari ini.

Dalam pada itu, Len Talif turut menegaskan kepentingan pembangunan infrastruktur sebagai pemangkin perpaduan komuniti, khususnya melalui pembinaan jambatan di Sungai Rajang yang kini menghubungkan kawasan yang sebelum ini terpisah.
Katanya, kemudahan jaringan jalan raya yang semakin lengkap bukan sahaja memudahkan pergerakan, malah mengeratkan hubungan masyarakat serta menggalakkan mereka kembali menyumbang kepada pembangunan kawasan asal
“Walaupun kita menetap lama di tempat lain kerana pekerjaan, kita harus kembali ke tempat asal untuk bersama-sama membangunkan kawasan kita,” ujarnya.
Mengulas mengenai Persatuan Melanau Sibu, beliau berkata persatuan yang ditubuhkan pada 1957 itu bakal menyambut ulang tahun ke-70 pada tahun hadapan, justeru persediaan rapi termasuk menarik penyertaan golongan muda perlu diberi perhatian bagi menjamin kesinambungannya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan cadangan pembangunan Lebuk Melanau di Kuching yang akan merangkumi kemudahan hotel, dewan serta ruang perniagaan sebagai usaha memperkasa komuniti Melanau secara menyeluruh.
Turut hadir isteri beliau Datin Asiah Awai, Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi bersama isteri Maimunah Jaron, Pengerusi PMS Anis Ili serta tetamu lain.