
KUALA LUMPUR: WTK Holdings Bhd (WTK) mendapat keputusan sebulat suara daripada pemegang saham bagi memperoleh kepentingan ekuiti dalam tiga syarikat berkaitan WTK Realty Sdn Bhd dengan harga RM555 juta.
Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan terpelbagai berpangkalan di Sarawak itu berkata pemegang sahamnya meluluskan cadangan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Desacorp Sdn Bhd, serta 70 peratus kepentingan ekuiti dalam Imbok Enterprise Sdn Bhd dan WTK Oil Mill Sdn Bhd.
WTK Holdings berkata pengambilalihan itu akan mengukuhkan skala operasi perniagaan perladangannya dan dijangka selesai menjelang suku kedua 2026.
“Selepas selesai, jumlah kawasan penanaman kelapa sawit milik WTK akan meningkat sebanyak 82.6 peratus daripada 17,420.59 hektar kepada 31,809.86 hektar, disokong oleh umur tanaman yang menggalakkan.
“Selain itu, penglibatan kilang dalam estet khusus juga dijangka akan meningkatkan lagi kecekapan rantaian bekalan dan integrasi operasi kumpulan,” katanya.
Pengerusi WTK Tan Sri Sulong Matjeraie berkata susulan pengunduran daripada operasi perkayuan yang mengalami kerugian sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula perniagaan kumpulan, kumpulan itu kini memberi tumpuan kepada pengembangan bahagian perladangan sebagai segmen perniagaan teras.
Katanya, langkah itu turut disokong oleh kualiti pendapatan yang lebih kukuh dan prospek jangka panjang yang lebih mampan.
“Keutamaan segera kami adalah pelaksanaan dan penyepaduan aset yang diperoleh secara teratur ke dalam operasi sedia ada kumpulan.
“Pengembangan jejak huluan kelapa sawit huluan ini, bersama-sama dengan kapasiti pengilangan bersepadu hiliran, dijangka terus mengukuhkan keterlihatan pengeluaran, keupayaan pemprosesan dan pengoptimuman kos WTK,” katanya.
Sulong berkata penjualan operasi kayu balak bermakna kumpulan itu tidak lagi terdedah kepada kemerosotan nilai atau kerugian operasi berkaitan kayu balak, yang dijangka menghasilkan profil pendapatan yang lebih baik dan lebih stabil.
“Cadangan pengambilalihan ini meningkatkan pendapatan, dengan keputusan kewangannya akan disatukan ke dalam kumpulan, sekali gus mengukuhkan lagi bahagian perladangan sebagai pemacu pendapatan utama kumpulan,” tambahnya.
-Bernama