KOTA SAMARAHAN: Semua pemegang Kad Emas Kenyalang (KGC) boleh menikmati 10 peratus diskaun untuk membeli tiket bas bagi perjalanan ke seluruh Sarawak.
Selain itu, tambahan 10 peratus lagi diskaun turut diberikan sekiranya pembelian tiket dibuat dalam bentuk rombongan.
Menteri Kebajikan, Kesejateraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK), Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata demikian ketika ditemu ramah semasa mengadakan lawatan ke H&L Supermarket Aiman Mall, di sini semalam.
“Pemegang KGC bakal menikmati pelbagai rebat daripada berbagai perkhidmatan dan produk daripada vendor yang terpilih.
“Waris turut mendapat manfaat kerana setiap pemegang KGC juga layak mendapat Khairat Kematian.
Mengulas berkenaan sambutan permohonan, Fatimah sangat berpuas hati kerana inisiatif ini mendapat respons yang positif dan diterima baik khususnya daripada penduduk luar bandar.
Sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 169,925 permohonan KGC diterima dan sebanyak 69,960 daripadanya diagihkan kepada pemilik kad tersebut.
“Pihak KWKPK kini dalam usaha mencari lebih banyak vendor sebagai rakan strategi bagi KGC untuk memberikan pelbagai kemudahan kepada yang memerlukan.
“Buat masa ini, KGC belum dapat digunakan bagi tujuan pembelian tiket penerbangan.
“Bila keadaan pulih nanti, KWKPK akan segera menguruskan dan berharap agar syarikat penerbangan tempatan yang terpilih akan memberi respons positif.
Mengulas sedikit tentang industri penerbangan yang terjejas teruk akibat wabak pandemik Covid-19, Fatimah berkata, hanya penerbangan domestik dibenarkan berjalan seperti biasa bermula 1 September lalu.
Bagi penerbangan antarabangsa pula, kerajaan hanya membenarkan penerbangan daripada negara-negara yang mencatatkan kes kurang daripada 150,000 sahaja.
Oleh Akmal Adib Yusup