PETRA JAYA: “Suspek pembunuhan Nurul Asikin Lan perlu menerima hukuman setimpal atas perbuatannya,” kata bapa saudara mangsa, Mohamad Nor Bohari, 64 tahun.
Meluahkan rasa kecewanya terhadap sistem keadilan yang didakwa kerap memberikan hukuman yang tidak setimpal kepada pembunuh.
“Saya mewakili keluarga berharap pembunuh tersebut menerima hukuman setimpal.
“Sekarang ini, banyak pembunuh terlepas daripada hukuman yang sepatutnya. Jika kita tidak tegas terhadap kes seperti ini, perkara sama mungkin berlaku kepada generasi akan datang.
“Kami berharap pihak berkuasa berbincang dan mengambil tindakan tegas.
“Jika benar pelaku bersalah, hukuman setimpal perlu diberikan. Itulah harapan kami sebagai ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah anak saudaranya itu di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini, hari ini.
Katanya, beliau menyimpulkan bahawa keluarganya redha dengan pemergian Nurul Asikin tetapi mereka tetap mengharapkan keadilan untuk arwah.
“Kami redha, tetapi rasa tidak puas hati tetap ada kerana dia bukan meninggal akibat sakit, tetapi dibunuh oleh seseorang,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Nor juga menyuarakan rasa kesal kerana keluarga suspek tidak mengambil langkah untuk memohon maaf atau bertemu keluarga mangsa walaupun mereka pernah berjanji untuk berbuat demikian sebelum mayat Nurul Asikin ditemui.
“Keluarga suspek ada menghubungi kami untuk datang ke rumah menyelesaikan perkara ini, tetapi sehingga sekarang tiada apa-apa tindakan.
“Kalau perkara ini berlaku pada keluarga mereka, apa mereka rasa? Kami berharap keluarga suspek berjumpa dengan kami secara terbuka.
“Keluarga kami kebanyakannya anggota polis, kami tahu undang-undang. Kami hanya mahukan keadilan untuk Allahyarhamah Nurul Asikin.
“Kalau mereka benar-benar berhati perut, mereka patut datang berjumpa kami. Apa salahnya?,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Nor turut mengenang keperibadian Nurul Asikin yang dianggap sebagai seorang yang ceria dan berfikiran terbuka.
“Allahyarhamah Nurul Asikin ini seorang yang sangat ceria. Dia tidak pernah marah, walaupun dimarahi orang.
“Dia hanya senyum saja. Saya kenal dia sejak lahir kerana ibunya adalah adik angkat saya.
“Nurul Asikin juga bukan jenis sosial yang suka melepak, dan tidak pernah ada masalah dengan sesiapa. Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam buat kami semua,” katanya.
Terdahulu, mangsa, Nurul Asikin Lan, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang dengan kehadiran kira-kira 500 orang yang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan, dan masyarakat yang bersimpati dengan tragedi ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal