TANJUNG MANIS: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan rakyat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata ia juga berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuk di negeri ini.
“PKS mewakili 97.2 peratus daripada komuniti perniagaan termasuk perusahaan mikro, komuniti luar bandar, kumpulan B40, pembekal dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Penjenamaan dan Pembungkusan Produk di Dewan Masyarakat Kampunh Jerijeh Baru, Tanjung Manis, sebentar tadi.
Perasmian dilakukan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Len Talif berkata, sejajar dengan usaha meningkatkan PKS, maka program diadakan untuk memberi ilmu keusahawanan kepada usahawan Tanjung Manis supaya lebih bersedia dan berdaya saing.
“Hari ini, usahawan kita diberi pendedahan akan kepentingan pembungkusan dan penjenamaan produk dan perkhidmatan mereka.
“Saya juga difahamkan bahawa peserta turut didedahkan dengan strategi untuk membuat pelanggan lebih mengenali jenama dan keunikan hasilan mereka berbanding pesaing lain dalam pasaran.
“Misalnya dari segi kaedah ‘packaging’ yang unik, menarik serta inovatif dengan kos yang rendah,” katanya.
Beliau berkata, pada masa sama, peserta juga diajar memahami garis panduan pelabelan dan persijilan sebagai pelengkap kepada sesuatu pembungkusan produk mahupun perkhidmatan.
“Teknik-teknik mampu menghasilkan pengiklanan produk yang lebih menarik dan trendy dengan hanya menggunakan aplikasi yang tersedia pada peranti masing-masing.
“Pendedahan seperti ini amat penting dan berguna untuk usahawan tempatan yang berhasrat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya.
Oleh EARL ANEK