MUKAH: Penduduk tempatan menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri untuk membuka semula taska di seluruh negeri dengan tangan terbuka.
Salah seorang ibu yang ditemui Utusan Sarawak, Norazryna Abdul Rahman, berkata langkah itu adalah berita baik untuk ibu bapa yang bekerja.
“Saya menyokong keputusan kerajaan untuk membuka kembali taska di seluruh negeri tetapi pihak berkenaan perlu mengamalkan dan patuh sepenuhnya operasi prosedur standard (SOP) atau norma baharu dalam pergaulan kanak kanak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak menghantar anak ke taska pada masa sekarang bukan sesuatu pilihan yang terbaik seperti sebelum ini, namun keadaan telah memaksa mereka untuk membuat sedemikian.
“Kerja dan tanggungjawab semua orang tak sama. Kita saling memerlukan. Tiada ibu bapa sengaja menghantar anak ke taska dalam keadaan sekarang. Tetapi apakan daya mereka terpaksa bertugas.
“Apa pilihan yang mereka ada? Adakah membawa anak ke tempat kerja? Tinggalkan anak sendirian di rumah? Hantar balik kampung? Jangan kecam individu yang menyokong dan jangan memperli individu yang membantah,” tambah Nor.
Menyedari anak-anak lebih mudah dijangkiti penyakit, beliau berkata pihak taska perlu tegas dan sentiasa mematuhi SOP yang tetapkan oleh pihak berkuasa.
“Antaranya menjalankan saringan suhu badan dan mencuci tangan serta amalan 3W dan sebagainya dari masa ke semasa. Dan pada masa yang sama ibu bapa juga perlu patuh dan bertimbang rasa. Anak yang ada tanda-tanda sakit jangan dihantar ke taska tetapi ke klinik atau rehat di rumah sahaja supaya tidak memudaratkan lagi keadaan,” kata dia lagi.
Pemilik sebuah syarikat pencetakan di sini juga berharap taska akan mengutamakan kesihatan dan keselamatan bersama.
“Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Aktiviti di taska mungkin perlu dilihat semula dengan teliti terutama aktiviti berkumpulan. Anak-anak perlu didedahkan dengan amalan kebersihan dan hidup sihat daripada awal. Masa ini adalah sesuai untuk menerapkan amalan ini melalui akiviti dan pendedahan anak-anak di taska,” ujar Nor.
Seperti penduduk Sarawak dan Malaysia, beliau mendoakan krisis Covid-19 ini akan berakhir dengan secepat mungkin.
“Setiap yang bermula pasti berakhir. Begitu juga wabak Covid-19. Kita ingin dan sentiasa mengharapkan yang terbaik. Semoga wabak ini akan berakhir dan kita semua memenanginya dengan jayanya,” kata Nor dengan penuh harapan.
Oleh Henry Siyu