PELAKSANAAN Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin, atau Vaccinated Travel Lane (VTL), merupakan inisiatif penting ketika ini dalam langkah Malaysia berusaha untuk membuka sempadan.
Ketika ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bertungkuslumus mengkaji beberapa cadangan pelaksanaan yang berkesan, terutama sekali dalam memastikan pembendungan optimum terhadap pengawalan masalah jangkitan penyakit berjangkit.
Malaysia, seperti juga negara-negara lain serantau seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia perlu mengakrabkan kerjasama memikirkan kaedah usaha-usaha terbaik dapat dicapai berkaitan VTL dari aspek laluan darat, udara, dan juga melalui perairan.
Ketika menghadiri majlis Citrawarna Keluarga Malaysia di Kuching semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin usaha berupaya dilaksanakan menjelang Mei 2022. Adalah diyakini penyelesaiannya dapat dicapai sebelum Aidilfitri tahun ini.
Sukses dalam pelaksanaan VTL amat penting untuk membolehkan industri pelancongan kita berupaya digerakrancakkan sebagai usaha untuk menghidupkan semula sektor ekonomi negara.
Perdagangan melalui sempadan
Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) juga bergantung pada kejayaan pelaksanaan VTL untuk mengukuhkan ekonomi.
Pengendalian VTL bukan mudah untuk dilaksanakan, terutama sekali bagi VTL darat berbanding VTL udara dan pergerakan laluan melalui perairan, kerana untuk mengendalikan VTL darat memerlukan faktor perbarisan pada setiap poin ketibaan semasa melalukan kerja-kerja pengimbasan.
Hal sedemikian ini menuntut prasarana lengkap yang berkesan untuk memastikan barisan tidak menimbulkan masalah yang lazimnya dikaitkan dengan kelambatan kerana kekurangan bilangan lorong, atau masalah manusia seperti ketidakcukupan bilangan pegawai pos yang bertugas.
Pengendalian VTL antara sempadan Malaysia-Thailand, Malaysia-Singapura, Malaysia-Brunei, dan Malaysia Indonesia, sekurang-kurangnya menuntut perhatian dan iltizam yang cukup rumit, kerana melibatkan perdagangan sempadan yang berbilion ringgit nilainya.
VTL antara Thailand dan Malaysia, misalnya, bukan setakat melibatkan pelancongan, malahan perdagangan sempadan yang dianggarkan bernilai AS$10.5 bilion, yang berpadanan dengan RM44.1 bilion.
Hampir 200,000 rakyat Malaysia perlu bergerak melalui sempadan dengan Singapura dan Brunei. Atas sebab inilah baru-baru ini Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan baru-baru ini.
Pada kesemua sempadan yang hendak dibina itu memerlukan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang canggih dan kontemporari dengan mengambil kira aspek alam pendigitilan.
Sosiobudaya
Sempadan Singapura dan sempadan Brunei memiliki kesamaan ciri yang istimewa kerana pergerakan rakyat antara negara masing-masing begitu kerap dan akrab, malah melibatkan soal sosiobudaya kerana sebilangan besar rakyat memiliki pertalian keluarga dengan negara masing-masing.
Terutama sekali di sempadan Brunei-Sarawak, rakyat Limbang, Lawas dan Miri memiliki pertalian keluarga dari kalangan etnik Bisaya, Lun Bawang, Jatti Meirek, Dalik dan Bakong.
Begitu juga di sempadan-sempadan kecil seperti di Ba’Kelalan, Belaga, Bario dan beberapa kawasan pergunungan di pedalaman Sarawak. Atas sebab itulah usaha untuk mempertingkatkan kawalan sempadan juga merupakan isu besar yang sedang ditangani, lebih-lebih lagi pada ketika ibu kota Indonesia, Nusantara bakal berpindah ke Kalimantan Barat.
Pengiktirafan MySejahtera dan Mor Prom
Pada Sabtu lepas (26 Februari), beliau telah berbincang perkara berkenaan dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan O-cha, semasa kunjungan pertama sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Hasil pertemuan dengan Thailand itu berakhir dengan persetujuan kedua-dua negara untuk saling mengiktiraf pengintegrasian MySejahtara Malaysia dan Mor Prom Thailand ketika pengendalian VTL di lapangan terbang dan sempadan masing-masing.
Para pegawai Kementerian dan Agensi di negara masing-masing kini sedang mengikhtiarkan perincian kaedah pengiktirafan dan pengintegrasian apliksi pemudah rentas sempadan Malaysia dan Thailand.
Pelancongan Sarawak
Bagi Sarawak, kejayaan VTL ini amat signifikan sekali, kerana keupayaan daya tarikan Sarawak dalam sektor pelancongan sudah diyakini mendapat sambutan baik, baik dari kalangan pelancongan asing, mahupun pelancongan domestik.
Tarikan Taman Negara Mulu dan Taman Negara Niah, misalnya, merupakan produk pelancongan yang internasional kategorinya ekoran pengiktirafan sebagai tapak warisan UNESCO.
Keistimewaan Gunung Buda, yang terletak dalam kawasan perhutanan Limbang, memanfaatkan bukan Sarawak sahaja, malahan tempiasnya dapat dkongsikan oleh negara Brunei Darussalam dan wilayah Sabah.
Begitu juga sama halnya dengan Logan Bunut yang tertetak antara sempadan daerah Miri dan daerah Baram, sudah tentu bakal menyaksikan kerancakan pergerakan dalam kalangan para pelancong luar dan domestik yang khusus cintakan alam sekitar.
Mewujud situasi menang-menang
Promiskuiti Sarawak dengan jiran-jirannya Kalimantan, Brunei dan Sabah mewujudkan satu situasi yang dianggap menang-menang, kerana pembangunan pelancongan sebelah Sarawak membawa tempias langsung bagi ketiga-tiga jiran itu.
Kalimantan, Brunei dan Sabah masing-masingnya tidak kurang memiliki daya tarikan masing-masing seperti Taman Negara Kinabalu (Sabah), Lemanak-Entikong (Kalimantan) dan Taman Jerudong (Brunei).
Lagipun, keadaan mesra-jiran antara negara dan wilayah yang sama-sama menganggotai Kawasan Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan ASEAN (BIMP-EAGA ) Area ini sudah wujud lama, dan perkembangan kehadiran Nusantara di Kalimantan ini sudah tentunya menokok tambah lagi semangat keserantauan yang cukup bermakna.