Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Pembukaan PMG Physio Sibu Pahlawan perkukuh rangkaian kesihatan Sarawak – Dr Sim
  • KESIHATAN

Pembukaan PMG Physio Sibu Pahlawan perkukuh rangkaian kesihatan Sarawak – Dr Sim

Utusan Sarawak 4 hours ago
PERASMIAN… Dr Sim menyempurnakan majlis pembukaan PMG Physio Sibu Pahlawan, hari ini. Turut kelihatan (dari kiri) Ling, Wong, Dr Chieng dan Hii.

SIBU: Pembukaan PMG Physio Sibu Pahlawan dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam pembangunan rangkaian perkhidmatan kesihatan bersepadu di Sarawak serta menyumbang kepada usaha pembangunan bangsa Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan pesat PMG dalam tempoh lebih sedekad membuktikan bahawa syarikat tempatan mampu berkembang menjadi rangkaian perkhidmatan kesihatan yang besar jika mempunyai visi dan komitmen yang jelas.

Menurutnya, PMG yang bermula dengan sebuah farmasi sekitar 2012 kini berkembang pesat dengan ratusan cawangan serta pelbagai kemudahan kesihatan.

“Lebih 10 tahun lalu, sekitar 2012, PMG bermula dengan farmasi. Pada 2013 mereka membuka klinik di Sri Aman serta klinik pergigian.

“Hari ini PMG mempunyai lebih 200 farmasi, 40 klinik di Sarawak, lapan klinik pergigian dan kini dua pusat fisioterapi. Ini merupakan pencapaian yang amat luar biasa,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan PMG Physio Sibu Pahlawan, hari ini.

DR SIM diiberikan penerangan tentang PMG Physio Sibu Pahlawan, hari ini.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada saiznya, tetapi kepada manusia, budaya kerja serta nilai yang dibawa oleh organisasi tersebut.

Katanya, perjalanan PMG mempunyai persamaan dengan perkembangan Pusat Jantung Sarawak yang pada awal penubuhannya juga tidak diyakini ramai.

“Apabila kami mula membangunkan Pusat Jantung Sarawak dahulu, ramai yang tidak percaya. Tetapi dengan masa dan usaha, kami berjaya membuktikan keupayaan kami,” ujarnya.

Beliau berkata, pusat tersebut kini diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menjadi satu-satunya daripada 10 pusat jantung di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tersenarai dalam Top 100 Asia Pasifik oleh Newsweek selama dua tahun berturut-turut.

Dalam pada itu, Dr Sim turut menekankan bahawa bidang fisioterapi masih mempunyai potensi besar di Sarawak kerana masih kurang diterokai.

“Ramai orang menganggap fisioterapi hanya untuk kecederaan, tetapi sebenarnya skopnya sangat luas termasuk rehabilitasi neurologi, pemulihan selepas strok, pemulihan jantung, rawatan onkologi serta penjagaan pesakit geriatrik dan pediatrik,” ujarnya lagi.

Tambahnya, jumlah fisioterapi di Sarawak masih terhad dengan hospital kerajaan hanya mempunyai sekitar 24 jawatan fisioterapi, dan tidak semuanya diisi.

“Ini menunjukkan bidang ini masih mempunyai ruang yang sangat besar untuk berkembang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap PMG terus memperluaskan rangkaian perkhidmatannya dan berpotensi menjadi rangkaian kesihatan bersepadu terbesar di Malaysia.

“Saya melihat PMG berada di landasan yang tepat untuk berkembang bukan sahaja sebagai rangkaian terbesar tetapi juga rangkaian kesihatan bersepadu terbesar di negara ini, bermula dari Sarawak,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif sektor swasta seperti PMG penting dalam menyokong aspirasi autonomi kesihatan Sarawak pada masa hadapan melalui integrasi perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Menurutnya, Sarawak mempunyai potensi besar dalam bidang perubatan dan penyelidikan klinikal, termasuk melalui Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Umum Sarawak yang terus mencatat pencapaian membanggakan di peringkat nasional.

“Semua ini menunjukkan bahawa dari Sarawak, kita juga mampu membina sistem kesihatan bertaraf dunia,” katanya lagi.

Dr Sim turut memuji keberanian PMG meneroka teknologi baharu seperti penggunaan sistem pemulihan robotik dalam fisioterapi bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit.

“Saya mengucapkan tahniah kepada PMG atas pencapaian tersebut dan berharap lebih banyak inisiatif seperti itu akan terus menyumbang kepada pembangunan Sarawak menjelang 2030,” kata beliau lagi.

Turut hadir Pengarah Urusan PMG Healthcare Sdn Bhd Dr Chieng King Chong, Timbalan Pengarah Urusan PMG Healthcare Sdn Bhd Andrew Wong Pak Ung, Ketua Ahli Farmasi PMG Healthcare Sdn Bhd Ling Hung Leong dan Pengarah Fisioterapi PMG Physio Sdn Bhd Everlynn Hii Yi Xuan.

Oleh Akun Giman

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: KKM tidak kompromi jika kematian doktor pelatih HSIP ada unsur buli

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.