KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang melawat tapak pembuatan serbuk sabut kelapa atau cocopeat di Kampung Mang yang berpotensi dijadikan sebagai sebuah industri yang berjaya.
Rubiah Wang berkata, Kota Samarahan yang mempunyai penanaman kelapa antara yang terbesar di Sarawak juga menjadi salah satu faktor utama untuk memajukan industri tersebut di kawasan ini memandangkan industri tersebut dapat dikembangkan dengan baik apabila bahan atau sumber utama senang diperoleh.
“Saya sangat bersetuju sekiranya potensi industri pembuatan serbuk sabut kelapa ini dimajukan di Kota Samarahan memandangkan produk tersebut mendapat permintaan yang tinggi khususnya dalam kalangan pemain-pemain industri di dalam bidang pertanian.”
Beliau yang juga mengiringi Pengerusi Agensi Pembangunan Bersepadu Bahagian Samarahan (IRSDA), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pertanian IRSDA, Datuk Naroden Majais yang meninjau tapak cadangan industri tersebut untuk dimajukan menerusi peruntukan dibawah IRSDA.
Turut hadir, Brahim Lumpu, Residen Bahagian Samarahan dan agensi-agensi pelaksana termasuklah Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan delegasi dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak (MTAC).
Oleh AZREEN KERIA