

SONG: Kerja-kerja pembinaan semula Jambatan Sungai Musah di Katibas kini rancak dilaksanakan bagi memastikan penduduk menikmati laluan yang lebih selamat dan kukuh apabila projek berkenaan siap sepenuhnya kelak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan hari ini telah turun padang bersama pegawai serta jurutera Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) untuk meninjau sendiri kemajuan projek tersebut.
Menurut beliau, hasil tinjauan mendapati kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dan berada pada landasan yang ditetapkan.
“Saya berpuas hati dengan perkembangan semasa projek ini dan berharap semua kerja dapat diteruskan mengikut jadual demi kepentingan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan.
Jambatan Sungai Musah sebelum ini dilaporkan rosak dengan keadaan tiang yang condong akibat pergerakan tanah, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.
Susulan itu, jambatan berkenaan telah ditutup kepada semua laluan kenderaan dan orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut beliau, ketika ini kerja-kerja merobohkan dua bahagian jambatan lama sedang giat dilaksanakan bagi membolehkan pembinaan struktur baharu yang lebih kukuh dan selamat.
Bagi memastikan kelangsungan perhubungan penduduk setempat sepanjang tempoh pembinaan, sebuah jambatan besi sementara turut disediakan dan kini boleh digunakan oleh orang ramai.
Kerja-kerja pembinaan semula jambatan tersebut bermula pada 22 Oktober 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 21 April 2027.
Oleh Tarani Lanting