
KOTA SAMARAHAN: Proses pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Samarahan kini memasuki fasa reka bentuk apabila kontraktor yang disenarai pendek telah mula diberi taklimat tender serta dibawa melawat tapak projek hari ini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, sesi taklimat itu penting bagi memastikan semua syarikat yang layak memahami secara terperinci skop projek sebelum mengemukakan cadangan reka bentuk masing-masing.
“Taklimat ini memberikan maklumat penting kepada semua kontraktor kerana mereka perlu memahami secara terperinci keperluan projek bagi menghasilkan cadangan yang terbaik. Kita harap proses ini berjalan lancar.
“Projek ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 10.93 hektar (27 hektar) menggunakan kaedah reka dan bina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan pemeriksaan projek di tapak Pusat Kanser Sarawak yang terletak bersebelahan Pusat Jantung Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, pusat kanser berkenaan akan mempunyai kapasiti 310 katil serta menyediakan perkhidmatan pesakit luar, pesakit dalam, diagnostik dan rawatan kanser.
“Reka bentuk yang dikemukakan perlu memenuhi semua keperluan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan berdasarkan pernyataan keperluan.
“Bagaimana reka bentuk itu diterjemahkan, terpulang kepada kreativiti setiap syarikat,” jelasnya.


Nanta berkata, kerajaan menyasarkan Surat Setuju Terima (SST) dapat dikeluarkan kepada kontraktor yang berjaya pada Januari 2027.
“Tempoh pembinaan ditetapkan selama lima tahun atau 60 bulan, diikuti Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) selama dua tahun, dengan sasaran projek siap sepenuhnya pada 2032.
“Dalam tempoh DLP itu, fasiliti ini sudah boleh mula beroperasi sementara kontraktor masih bertanggungjawab terhadap sebarang kecacatan yang dikenal pasti,” tambahnya.
Mengulas kos projek, beliau berkata pembinaannya dijangka menelan belanja melebihi RM1 bilion, dengan kerajaan Sarawak menyediakan pembiayaan RM1 bilion sebagai sebahagian daripada kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan anggaran kos keseluruhan kerana nilainya masih bergantung kepada reka bentuk akhir yang akan dipilih.
“Yang lebih penting sekarang ialah mempercepatkan proses pelaksanaan projek ini,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Kementerian Kesihatan kerana terus memberi kepercayaan kepada Kementerian Kerja Raya untuk melaksanakan projek berimpak tinggi itu.
Untuk rekod, Pusat Kanser Sarawak akan menyediakan perkhidmatan kesihatan komprehensif termasuk pemindahan sel stem dan terapi selular yang tertumpu kepada pesakit onkologi di Sarawak.
Kemudahan itu juga dijangka meningkatkan kapasiti diagnosis, radioterapi dan kemoterapi secara bersepadu di satu lokasi sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan rawatan kanser di negeri ini.
Oleh Masrin Affirah