SIBU: Projek pembinaan Jalan Teku Pasai Siong-Kemuyang sepanjang kira-kira 6 kilometer akan dibina dengan kos RM89 juta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan jalan itu akan membuka kawasan pembangunan baharu dan memendekkan masa perjalanan dari bandar Sibu ke kawasan tersebut.
“Dengan siapnya jalan ini kelak, masa perjalanan ke bandar Sibu adalah selama tujuh minit, berbanding 30 minit menggunakan jalan lama,” katanya.
Menurutnya, sepanjang 700 meter dari jalan tersebut akan dibina dengan menggunakan sistem bertingkat kerana ia dibina di atas kawasan berpaya.
“Ini menjadikan ia jalan yang pertama menggunakan jalan bertingkat. Memang saya minta JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk mengambil kira teknologi baharu membuatkan jalan di atas tanah paya.
“Tanah paya ini kita buat jalan mulanya murah, tiga tahun selepas itu ia akan turun-turun dan pecah, kos penyelenggaraannya tinggi. Jadi saya cakap buat cara baru guna teknologi bertingkat,” katanya semasa berucap merasmikan majlis pecah tanah jalan tersebut di Desa Kemuyang, petang tadi.
Abang Johari berkata, kini sudah ada teknologi baharu yang boleh digunakan untuk merancangnya yang disebut sebagai kaedah Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM)
“Teknologi ini (BIM) menggunakan 3D. Apabila masuk 3D kita tahu bagaimana membuat jalan ini dengan kosnya, kalau hendak membaikinya, memasang eletrik, air senang sebab sudah ada dalam data. Buat pelan rumah pun boleh menggunakan BIM,” katanya.
Katanya, selepas jalan tersebut siap kelak, tanah akan dibuka untuk pembangunan dan inilah pelan induk rancangan pembangunan Sibu baharu.
“Kita sudah ada kawasan baru di Kemuyang, mungkin juga kita akan melihat di Jalan Oya, ini adalah pelan induk perancangan Sibu baharu.
“Kita mesti ada rancangan jangka masa panjang, sebab itu saya meminta orang yang pakar untuk membina pembangunan semula bandar Sibu.
“Apabila ia berlaku kita berkehendakan Sibu berkembang dan sesetengah kawasan kita buka dan ini (Kemuyang) ialah satu satunya,” jelasnya.
Projek Jalan Teku Pasai Siong – Kemuyang adalah salah satu inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, yang menjadi manifestasi komitmen teguh kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan konektiviti serta merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan ini.
Dengan anggaran kos sebanyak RM89 juta untuk fasa pertamanya, projek ini dijangka membawa impak yang signifikan kepada penduduk setempat melalui penyediaan infrastruktur yang lebih efisien dan akses jalan yang lebih baik.
Selain itu, projek ini juga turut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kawasan perumahan dan komersial di Sibu, sekaligus memperkukuhkan daya saing dan daya tarikan ekonomi bandar ini.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Permbangunan Bakat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Pengarah JKR Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING