
ROBAN: Pembinaan infrastruktur pengairan yang sistematik terus menjadi keutamaan dalam memacu kesejahteraan penduduk, khususnya bagi memastikan kawasan penempatan dan pertanian di luar bandar sentiasa terpelihara daripada ancaman bencana alam.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu lawatan tapak projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah diadakan semalam yang memfokuskan kepada usaha memperkasakan sistem saliran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Lawatan kerja berkenaan telah dihadiri oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi, yang bertindak mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Fokus utama lawatan kerja tersebut adalah untuk meninjau secara dekat tapak pembinaan baharu struktur pintu air yang terletak di Kampung Melayu Roban, di sini.

Mengulas mengenai pelaksanaan projek tersebut, ADUN Kalaka, Mohamad Duri menegaskan bahawa pembinaan pintu air berkenaan merupakan satu keperluan yang amat kritikal bagi penduduk setempat.
Menurut beliau, fungsi pintu air berkenaan adalah sangat penting terutamanya untuk mengatur aliran dan isi padu air, sekali gus bertindak sebagai sistem kawalan utama dalam mengendalikan risiko banjir di kawasan sekitar.
”Infrastruktur seperti ini bukan sahaja memastikan distribusi air dapat diagihkan secara merata ketika berdepan musim kemarau, malah ia amat penting bagi mengalirkan kelebihan air ke sungai besar semasa musim hujan,” jelas Mohamad Duri.
Projek RTP yang berorientasikan keperluan rakyat ini dijangka bakal memberikan impak positif yang besar, terutamanya dalam meningkatkan tahap keselamatan, kestabilan ekonomi pertanian, serta kualiti hidup komuniti di Kampung Melayu Roban secara berterusan.
Turut sama turun padang bagi meninjau perkembangan projek berkenaan ialah pihak agensi pelaksana daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong, Ketua Kaum Ali Nusi, serta beberapa pegawai kanan jabatan terbabit.
Oleh Adi Safarman