
LAWAS: Bangunan baru Perkim Cawangan Lawas yang kini sedang rancak dibina dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Jun tahun ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bangunan tersebut kelak akan menjadi pusat pentadbiran dan aktiviti Perkim Cawangan Lawas yang baru.
“Bangunan ini amat dinantikan oleh warga Perkim Cawangan Lawas, yang kini mempunyai keahlian berdaftar terbesar di Sarawak. Ia juga dilengkapi kemudahan seperti dewan serba guna, ruang niaga, dan pelbagai fasiliti lain yang sesuai dengan keperluan anggota,” katanya.
Awang Tengah, yang ketika ini sedang bercuti, turut meluangkan masa meninjau tapak pembinaan bersama Pengerusi Perkim Cawangan Lawas, Dato Hajah Dayang Morliah Datuk Haji Awang Daud, Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, dan Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
Beliau berpuas hati dengan perlaksanaan kerja di tapak projek dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi memastikan projek berjalan lancar.
Oleh Adeng Edrus